• nabalunews

AKTIVITI PERIKANAN KECIL-KECILAN DIBOLEHKAN DENGAN KEBENARAN POLIS - ISMAIL SABRI


Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

9 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Individu yang terlibat dengan aktiviti perikanan secara kecil-kecilan boleh meneruskan aktiviti mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan syarat mendapat kebenaran polis.


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun sektor berkenaan sememangnya dibenarkan beroperasi sejak fasa awal pelaksanaan PKP lagi, namun beliau faham terdapat kekangan untuk individu yang menjalankan aktiviti berkenaan secara kecil-kecilan bergerak kerana tiada surat dari majikan.


“Saya faham kalau syarikat besar, mereka mempunyai nama syarikat serta pekerja dan boleh keluarkan surat kebenaran majikan, (tapi) ini yang kecil-kecilan ini, misalnya guna perahu atau memelihara kupang, menangkap ikan, menjaring, menjala dan sebagainya.

“Jadi saya telah bincang dengan Timbalan Ketua Polis Negara bagi membantu mereka yang terlibat dengan perikanan kecil-kecilan ini, supaya mereka berjumpa dengan polis untuk dapatkan kebenaran, sama ada di balai polis terdekat atau pondok-pondok polis,” katanya dalam sidang media berhubung PKP hari ini.


Sementara itu beliau berkata sidang khas Majlis Keselamatan Negara juga bersetuju mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera di kawasan yang mempunyai capaian internet yang luas bagi memudahkan pengesanan kontak jangkitan COVID-19.


Katanya arahan berkenaan berkuat kuasa serta merta, namun kelonggaran untuk menggunakan kaedah secara manual dibenarkan bagi kawasan pedalaman dan kampung yang tidak mempunyai capaian internet.


“Saya faham ramai tak mahu isi informasi butiran diri secara betul apabila menggunakan kaedah secara manual. Saya ingin tegaskan di sini bahawa tujuan dapatkan butiran itu kerana jika ada kes berkaitan COVID-19 di premis yang mereka masuki, lebih mudah Kementerian Kesihatan (KKM) kesan mereka,” katanya.


Aplikasi pintar MySejahtera telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 20 April lepas bagi membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara, dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri selain membantu KKM mendapat maklumat awal untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.


KKM sebelum ini juga memaklumkan maklumat peribadi pengguna yang dikumpulkan dilindungi oleh “Akta Perlindungan Data Peribadi 2010” dengan data check-in yang dikumpulkan akan diarkibkan selepas 30 hari dan akan dihapuskan selepas 90 hari. - Bernama