- Wartawan Nabalu News
AKTIVITI SOSIAL ANTARA PUNCA, TIGA KLUSTER BAHARU HARI INI

27 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Tiga kluster baharu direkodkan hari ini berpunca daripada aktiviti sosial dan banduan dikenali sebagai Kluster Kuarters Bata Durok Keningau, Kluster Linau Kumpang Kota Belud dan Kluster Tembok Kota Kinabalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Kuarters Bata Durok Keningau melibatkan penularan kes Covid-19 dalam komuniti di Mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang yang dipercayai berpunca daripada aktiviti sosial iaitu penjualan nombor ekor haram.
“Kes tersebut dikesan melalui saringan pra-kemasukan wad terhadap kes indeks, lelaki, warganegara, 69, dari Taman Keningau Ville di Hospital Keningau pada 23 Jun lalu.
“Siasatan kontak rapat kemudian mendapati 11 lagi kes positif RTK-Ag masing-masing dua kes pada 24 Jun lalu dan sembilan kes pada 26 Jun (kelmarin) menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 bagi kluster ini sebanyak 12 kes,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, bagi Kluster Linau Kumpang Kota Belud pula sebanyak 30 kes positif Covid-19 direkodkan hari ini.
Katanya, kes indeks merupakan wanita, warganegara, 40, yang mempunyai gejala demam, selesma dan hilang deria bau sejak 11 Jun lalu, sebelum disahkan positif pada 13 Jun 2021 di Hospital Kota Belud.
"Kes indeks yang berasal dari Kg Ejuk berkemungkinan mendapat jangkitan daripada komuniti ketika menziarahi keluarganya, di Kg Linau Kumpang pada 10 Jun 2021.
"Susulan kes itu, pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 55 kontak menemukan 29 lagi kes positif dalam kalangan ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual, sementara satu individu masih menunggu keputusan saringan pertama," katanya.
Sementera itu, Kluster Tembok Kota Kinabalu yang dikesan di Kota Kinabalu, Papar, Penampang merekodkan jumlah kes positif tertinggi Covid-19 iaitu sebanyak 34 kes.
Menurut Masidi kluster itu dipercayai berlaku dalam kategori golongan berisiko di Penjara Pusat Kepayan.
"Kes indeks ialah banduan lelaki, warganegara Indonesia, 24, yang disahkan positif pada 17 Jun 2021 hasil saringan orang kena tahan (OKT) di penjara pusat tersebut.
"Berbanding 419 sampel yang telah diambil, 31 kes termasuk 13 kes baharu pada hari ini didaftarkan di Kota Kinabalu, manakala 255 sampel didapati negatif serta 133 sampel masih menunggu keputusan," katanya.