- Wartawan Nabalu News
Alesyah cipta sejarah, tersenarai 10 peserta terbaik Hadiah Pelajar Global

2 Sept 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Alesyah Asa, pelajar Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional Keningau (KVK) sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menempatkan nama 10 peserta terbaik merebut gelaran juara Global Student Prize 2022 anjuran Chegg.org yang berpusat di Amerika Syarikat.
Pelajar dari Kg.Enam Nabawan itu adalah wakil tunggal negara sebelum ini tersenarai dalam top 50 finalis daripada 7,000 peserta yang disertai 150 buah negara seluruh dunia.
Kejayaan menempatkan diri dalam 10 peserta terbaik, satu langkah ke hadapan untuk memenangi hadiah berjumlah RM445,000.
“Saya sangat gembira dan tidak menyangka dapat tersenarai dalam top 10 kerana pertandingan ini disertai pelajar seluruh dunia yang sememangnya mempunyai kelebihan dan keupayaan masing-masing,” katanya.
Alesyah berharap dapat memenangi pertandingan itu bukan sahaja untuk mengharumkan nama kolej tetapi juga Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.

“Sekiranya saya memenangi Global Student Prize, saya akan menggunakan wang hadiah itu untuk melabur dalam Kelab Eureka Hub, menambah baik infrastruktur sekolah dan mengembangkan lagi projek saya dalam menangani maklumat salah mengenai Covid-19,” katanya.
Alesyah berkata beliau minat dalam bidang pembinaan kerana suka pekerjaan yang mencabar dan ingin membuktikan bahawa wanita juga boleh melakukan pekerjaan yang didominasi kaum lelaki.
Hadiah Pelajar Global Chegg.org adalah anugerah yang diberikan kepada pelajar luar biasa yang memberi impak besar kepada rakan sebaya dan masyarakat luar.
Pada tahun 2020, Alesyah mengetuai pasukan memenangi geran bagi melaksanakan projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) daripada The Awesome Foundation, sebuah persatuan antarabangsa dari Amerika Syarikat.
Dengan kemenangan itu mereka berjaya membawa pulang geran berjumlah USD1,000 selepas menewaskan 77 pasukan lain yang turut membuat permohonan geran berkenaan.
Pasukan pelajar itu melaksanakan bengkel, pertandingan dan pameran melibatkan dron, robot, pencetakan tiga dimensi serta ‘coding’ untuk para pelajar dan guru di kolej itu.
Selain itu Alesyah juga juga pernah mewakili Malaysia sebagai duta budaya bagi rombongan pelajar kolej itu yang melawat institusi pendidikan di Korea Selatan pada 2019. Beliau aktif menyertai pertandingan inovasi dengan mempertandingkan alat binaan bangunan hasil ciptaanya beserta dengan ahli sepasukan
Semalam, Alesyah menerima Anugerah Khas sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Padang Merdeka yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.