• nabalunews

AMARAN CUACA BURUK, WASPADA DI BEBERAPA NEGERI HINGGA SELASA


7 JAN 2021


KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat jingga dengan hujan lebat berterusan dijangka berlaku hari ini di Pahang melibatkan Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin serta di Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi).

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata amaran cuaca waspada peringkat kuning turut dikeluarkan dengan hujan lebat dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan di Terengganu pula melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang bagi tempoh sama.

"Amaran sama turut dikeluarkan membabitkan kawasan Terengganu di Dungun dan Kemaman, Pahang di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Maran serta di Johor melibatkan kawasan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru hingga Selasa (12 Jan).

"Dalam tempoh itu, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan Johor Timur," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, dalam tempoh tersebut juga perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dijangka dilanda kejadian angin kencang timur laut berkelajuan hingga 60 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai 4.5 meter.

Kejadian angin kencang timur laut dengan kelajuan hingga 50 km/j dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit," kata Jailan. - Bernama