top of page

Anak yatim piatu antara 50 kanak-kanak dari Putatan terima bantuan shopping raya Jelajah Iftar 2025

  • nabalunews
  • Mar 11
  • 2 min read

Dayang Siti Noor Hayyat (kanan), Yee Tsai Siew (kiri)  Dexter (dua dari kiri) dan Awang Kadin (dua dari kanan) bergambar bersama Norasyiqin dan adiknya Nur Zurina yang turut menerima baju raya sempena program shopping raya Jelajah Iftar 2025
Dayang Siti Noor Hayyat (kanan), Yee Tsai Siew (kiri) Dexter (dua dari kiri) dan Awang Kadin (dua dari kanan) bergambar bersama Norasyiqin dan adiknya Nur Zurina yang turut menerima baju raya sempena program shopping raya Jelajah Iftar 2025

11 Mac 2025


PUTATAN: Dua anak yatim piatu antara 50 kanak-kanak dari Putatan yang dibawa membeli pakaian raya bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri sempena program shopping raya Jelajah Iftar 2025.


Setiap kanak-kanak itu juga menerima RM200 untuk membeli baju dan kasut raya disumbangkan oleh syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah sempena program berkenaan.


Anak yatim berkenaan ialah Norasyiqin Adnan dan adiknya, Nur Zurina Adnan, yang merupakan penerima shopping raya ini untuk dua tahun berturut-turut.


Difahamkan, ibu mereka meninggal dunia tujuh tahun lalu, manakala bapa mereka pula meninggal dunia tiga tahun lalu.


Ketika ditemui, Norasyiqin yang gembira turut sempat mengucapkan terima kasih atas sumbangan KTC yang dapat meringankan beban keluarganya.


Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau yang hadir di majlis itu turut melahirkan rasa sedih dan terharu ketika membantu Norasyiqin dan adiknya membeli pakaian raya.


Katanya, program shopping raya di Servay Hypermarket Penampang adalah untuk membantu kanak-kanak yang kurang mampu di kawasan Putatan.


"Banyak cerita sedih dan sukar kami dengar. Saya pun dapat merasai perasaan mereka. Saya percaya UPPM telah mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan. Diharapkan mereka yang memerlukan akan mendapat sokongan," ujarnya.


Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk tampil mengulurkan sumbangan sebanyak mungkin.


"Kami di sini bukan untuk agenda politik, tetapi untuk memberi kebaikan di tahun yang penuh berkat ini.


“Semoga semua turut berusaha untuk menyumbang kepada mereka yang memerlukan dan memberi manfaat kepada masyarakat," kata Dexter.


Program shopping raya itu disempurnakan oleh Datin Dayang Siti Noor Hayyat Awang Mohd Saufi, isteri Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya.


Sementara itu, Dayang Siti Noor Hayyat turut mengucapkan terima kasih kepada KTC kerana berjaya menganjurkan aktiviti shopping raya bersama kanak-kanak terpilih.


Katanya, usahawan ternama ini menjadi contoh kepada semua pihak bahawa kebaikan tidak mengenal batas, bangsa, dan agama.


"Diharapkan usaha ini dapat diteruskan," katanya.


Turut hadir Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Awang Kadin, Datin Yee Tsai Siew (isteri Dexter), pemimpin masyarakat serta wakil KTC dan UPPM.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page