• Wartawan Nabalu News

ANCAMAN COVID-19 BELUM TAMAT, JANGAN LEKA: MASIDI


Gambar Hiasan



8 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kes jangkitan Covid-19 di Sabah masih dalam lingkungan tiga angka dan masih tidak selamat dan berbahaya, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.


Sehubungan itu beliau meminta semua lapisan masyarakat di nengeri ini supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.


“Sungguhpun kes jangkitan Covid-19 di Sabah sudah mula mencatatkan penurunan berbanding beberapa minggu yang lepas, namun, ianya kekal dalam lingkungan tiga angka yang mana pada pendapat saya masih tidak selamat dan berbahaya.


“Oleh itu, Kerajaan Negeri berharap segenap lapisan masyarakat di negeri ini tidak leka dan tidak mengambil ringan perkara berkaitan penularan Covid-19.


“Sebaliknya, masyarakat digesa terus mematuhi SOP-SOP yang telah ditetapkan dan mengamalkan penjagaan kebersihan dan kesihatan diri serta keluarga masing-masing dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar, di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah munasabah bagi kerajaan negeri memberikan kelonggaran kepada sektor perniagaan memandangkan kes positif Covid-19 di Sabah masih ditahap ratusan setiap hari dan mungkin memberi isyarat kepada umum bahawa epidemik di Sabah sudah pulih dengan ketara.


Masidi berkata, kerajaan negeri telah meneliti perkara itu dari pelbagai aspek termasuk aspek ekonomi dan situasi semasa kes jangkitan Covid-19 di negeri ini serta mengambilkira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dikuatkuasakan di negeri ini sehingga 20 Disember dan sejak PKPB dilaksanakan, kerajaan negeri telah membenarkan aktiviti-aktiviti dalam sektor ekonomi, industri dan perniagaan untuk beroperasi secara berperingkat-peringkat.


“Ini bertujuan untuk memastikan kelangsungan ekonomi negeri ini. Sungguhpun demikian, Kerajaan masih mewajbkan semua pihak yang terlibat mematuhi arahan, peraturan dan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com