Anggaran terkini baiki kerosakan kemudahan awam lebih RM28 juta: Jeffrey
- nabalunews
- Mar 29
- 2 min read

29 Mac 2025
KENINGAU: Anggaran terkini yang diperlukan bagi membaiki keseluruhan kerosakan kemudahan awam kesan banjir yang berlaku baru-baru ini mencecah lebih RM28 juta.
Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan , Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, antara peruntukan terbesar ialah meluruskan sungai Pegalan di Kampung Gasabon, Apin-Apin ke tempat asal dengan kos RM17 juta.
“Ia termasuk tindakan memindahkan aliran sungai ke asal dan tanah-tanah yang bertimbun juga perlu dipindah ke tempat hakisan untuk menstabilkan tanah.
“Selain itu, perlu juga dan kena tinggikan ban bagi mengelakkan air yang kerap melimpah di kampung itu apabila berlaku banjir,”katanya.
Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat menangani isu-isu bencana alam di Daerah Keningau yang diadakan di Pejabat Daerah di sini pada Khamis.
Jeffrey berkata, tindakan perlu diambil segera sekali gus dengan kerja-kerja pembaikan kerosakan dilaksanakan.
Sementara itu Jeffrey berkata, peruntukan segera amat diperlukan dan diharapkan kerajaan pusat melalui agensi Pengurusan Bencana Negara NADMA mahupun kerajaan negeri dapat menyalurkan peruntukan ini.
Katanya, perubahan iklim dunia yang turut membabitkan negara Malaysia memberi kesan kepada persekitaran seperti banjir, hakisan tebing sungai dan tanah runtuh.
“Apa yang membimbangkan ketika ini terdapat takungan sejauh 300 meter dengan kedalaman 6 meter di Sungai Malapi, Ulu Bayayo kesan runtuhan 2 kilometer ketika banjir baru-baru ini.
“Ssekiranya takungan air itu runtuh boleh mengakibatkan banjir kilat dan akan memberi kesan kepada penduduk yang tinggal di sepanjang sungai Bayayo.
"Sehubungan dengan ini kita bagi makluman kepada orang-orang kampung terutama yang tinggal di pinggir sungai Bayayo melalui "warning sistem" dan juga mempastikan mereka berpindah atau barang-barang mereka dipindahkan sementara waktu.
"Kita juga berharap hujan tidak akan turun berterusan supaya ia akan pecah perlahan-lahan" katanya.
Comments