• nabalunews

ANGGOTA MPV SELURUH NEGARA DIBEKALKAN JAKET KESELAMATAN BAHARU


28 DIS 2020


JOHOR BAHRU: Anggota kereta peronda polis (MPV) seluruh negara kini dibekalkan dengan jaket keselamatan baharu iaitu ‘Reflective Bullet Proof Vest Level II With Anti Stab’ bagi mengelakkan sebarang ancaman dan risiko kecederaan ketika bertugas.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata untuk fasa pertama sebanyak 800 unit diagihkan dengan keutamaan diberikan kepada seluruh kontinjen.

Beliau berkata agihan juga berdasarkan risiko dan insiden kekerapan berlaku kes jenayah yang memerlukan anggota MPV memakai jaket keselamatan.

Menurutnya, jaket keselamatan itu mampu bertahan selama 10 tahun dan memberi perlindungan balistik terhadap tembakan daripada peluru kaliber sembilan milimeter (mm).

“Ia juga memberi perlindungan terhadap tikaman daripada peralatan tajam seperti pisau dan lain-lain selain mampu membalikkan cahaya sebagai pelindung kepada anggota yang bertugas pada waktu malam atau ketika keadaan gelap.

“Kita beri ikut keutamaan, seperti di Johor kita beri 100 unit kerana kontinjen besar yang mana berisiko tinggi macam Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan jaket berkenaan serta 400 baju Skuad Aman Wanita (Amanita) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.


Zainal berkata sebelum ini anggota MPV hanya dibekalkan jaket pemantul cahaya yang tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan jaket keselamatan baharu yang lebih berkualiti itu dilihat dapat meningkatkan keyakinan anggota ketika bertugas.

Beliau berkata terdapat 3,000 MPV seluruh negara dan kira-kira 6,000 unit jaket keselamatan diperlukan untuk petugas dengan fasa pertama 800 unit diberikan kerajaan menerusi Belanjawan 2018 setelah menjalani ujian ketahanan pada hujung tahun lepas. - Bernama