Angin kencang, rumah penduduk di Kg Kiau Taburi rosak
- nabalunews
- Nov 22, 2024
- 1 min read

22 November 2024
KOTA BELUD: Rumah seorang penduduk di Kampung Kiau Taburi, rosak teruk dihempap pokok tumbang dalam kejadian angin kencang pada 19 November lalu.
Prihatin dengan musibah yang menimpa keluarga Salbiah Miki yang menetap di rumah ini, kakitangan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N11 Kadamaian, Solumin Salanu @ Solinu yang mewakili ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, telah melawat lokasi kejadian pokok tumbang untuk melihat sendiri keadaan rumah keluarga Salbiah di Kampung Kiau Taburi yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
Meskipun bencana ini menyebabkan kerosakan besar pada atap dan siling runah, namun keluarga ini bersyukur kerana tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.
Pihak Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian berharap agar keluarga Salbiah tabah menghadapi dugaan ini.
Sebagai tanda keprihatinan, Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa yang diwakili abang Salbiah, Devron Miki untuk meringankan beban mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kiau Taburi, Stefban Sindeh, telah mencadangkan agar satu gotong-royong diadakan pada 23 November untuk memperbaiki struktur rumah yang rosak.
Aktiviti ini akan melibatkan JKKK, pasukan bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung untuk membersihkan kawasan rumah mangsa serta menebang pokok-pokok yang berisiko tumbang di kawasan tersebut.
Kerjasama ini diharap dapat mempercepatkan proses pemulihan serta memastikan keselamatan penduduk di Kampung Kiau Taburi.















Comments