• nabalunews

ANGKASA SEDIA BANTU LEBIH RAMAI OKU TUBUH, SERTAI KOPERASI


21 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) bersedia membantu Orang Kurang Upaya (OKU) atau persatuan yang mewakili golongan itu untuk menubuhkan dan menyertai koperasi.

Pengerusi, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata sehingga Disember 2019, hanya terdapat 24 koperasi OKU di Malaysia dengan 1,108 ahli berbanding hampir 600,000 OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Penubuhan koperasi OKU juga amat rendah berbanding keseluruhan 14,527 koperasi di negara ini,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan kepada ahli Koperasi Sindrom Down Malaysia Bhd di bawah program tanggungjawab sosial korporat Coopcare Angkasa Prihatin COVID-19 di sini, hari ini.

Angkasa turut menyampaikan sijil ahli kepada Koperasi Sindrom Down Malaysia, yang merupakan koperasi OKU ke 25 ditubuhkan di Malaysia.

Beliau berkata pihaknya menyarankan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama pertubuhan kebajikan OKU yang bergerak di atas nama NGO semata-mata dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, menubuhkan koperasi untuk turut memanfaatkan platform digital, JiMATBIZ di bawah projek Barang Asas 100 bagi menambahkan pendapatan persatuan.

“Langkah ini juga membantu komuniti berkenaan mempelbagaikan strategi perniagaan dan meningkatkan atau menambah baik kebajikan ahli,” katanya.

Abdul Fattah berkata koperasi-koperasi OKU di Malaysia mempunyai nilai aset berjumlah RM1.9 juta serta perolehan berjumlah RM710,000.

Justeru, beliau menyeru koperasi-koperasi OKU yang kecil supaya bergabung dan membentuk konsortium bagi membolehkan mereka menyertai lebih banyak sektor berimpak tinggi dan dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan.

Dalam perkembangan ini, Terengganu telah menjadi perintis penubuhan gabungan koperasi OKU menerusi Konsortium Koperasi Penyayang Terengganu Bhd.

- Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com