- Wartawan Nabalu News
Anwar: 40 peratus subsidi kerajaan dinikmati golongan kaya

13 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik sikap sesetengah pihak yang masih mahu mengekalkan subsidi kerajaan kepada golongan kaya, yang menurutnya tidak adil dan tidak munasabah.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 40 peratus daripada peruntukan subsidi kerajaan sampai kepada golongan kaya, berdasarkan kajian yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Penasihat kepada Kementerian Kewangan (MoF) pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
"Jadi saya tidak faham mengapa sesetengah orang masih nak pertahankan (penarikan subsidi kepada golongan kaya). Kita tidak berganjak daripada pendirian untuk mengurangkan subsidi (kecuali bagi golongan terbawah)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan MTEN di sini.
Anwar memberi contoh seperti subsidi Tabung Haji dan elektrik yang selama ini dimanfaatkan oleh golongan kaya, dan berkata bahawa prinsip rasionalisasi subsidi akan diguna pakai dalam perbincangan subsidi diesel dan lain-lain.
Beliau memberi jaminan bahawa rakyat terbawah tidak akan terkesan dengan dasar yang akan diambil dalam reformasi ekonomi termasuk melibatkan pemberian subsidi.
"Dalam soal tarif elektrik, alhamdulillah, disambut baik walaupun cuba dipermainkan oleh sesetengah pihak. Ini kerana tarif elektrik itu naik hanya kepada syarikat-syarikat besar dan rumah-rumah kelompok kaya. Berbeza dengan kerajaan terdahulu yang mahu menaikkan kadar elektrik bagi semua rakyat," katanya lagi.