Anwar berdebat lebih baik: Anthony Loke
top of page
  • Farah Salim

Anwar berdebat lebih baik: Anthony Loke



13 Mei 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Kehebatan kedua-dua tokoh negara antara Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Debat Perdana yang julung kalinya diadakan mendapat pelbagai reaksi.


Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke, menyifatkan Anwar telah berdebat dengan lebih baik dan berjaya mematahkan hujah pihak lawan dengan cekap.


Beliau berkata, Najib berusaha menyakinkan orang ramai bahawa perlu menyelamatkan syarikat Sapura Energy kerana dilihat sebagai syarikat strategik dan melibatkan kepentingan banyak pihak.


“Bagaimanapun Anwar pula menegaskan perlunya akuantabiliti dan kebertanggungjawaban pihak pengurusan korporat terhadap kegagalan mereka dan kerajaan tidak seharusnya "bailout" mana-mana syarikat dengan sewenang-wenangnya.


“Apabila DSNR (Najib) menggunakan analogi "memperbesarkan kek ekonomi" sebagai mantra pengurusan ekonominya, DSAI (Anwar) dengan petah menjawab "jangan makan kek seorang" dan mempersoalkan siapa yang dapat bahagian kek yang lebih besar.


“Bagi saya, hujahan balas ini merupakan "highlight" dalam debat malam ini.


“DSNR masih mempertahankan mantra "Cash is King" dan cuba putar belit kononya "king" yang dimaksudkan ialah rakyat...maksudnya "cash is rakyat"? Saya tak faham logik tersebut.


“DSAI pula dengan berani menyatakan bahawa "cash is king" ini akan menjadikan masyarakat kita mempunyai "dependency syndrome" di mana golongan miskin akan sentiasa bergantung kepada golongan elit politik untuk bantuan dan terasa terhutang budi kepada mereka tanpa satu pendekatan jangka panjang untuk memerdekakan mereka daripada masalah kemiskinan,” katanya.


Anthony berkata, Najib cuba menonjolkan dirinya sebagai pemimpin berintegriti yang melaksanakan tender terbuka dan memberi contoh kejayaan MRT 1.


“Suka saya ingatkan beliau bahawa projek ECRL yang memakan kos lebih RM50 billion tidak pernah melalui tender dan ECRL juga bukan satu pelaburan daripada luar tetapi Kerajaan Malaysia juga yang perlu bayar bil tersebut dalam jangka masa panjang.


“Apa yang lucu ialah apabila DSNR menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan agenda DSAI untuk melawan rasuah dan mana-mana kes penyalahgunaan kuasa mesti diambil tindakan!


“Bukankah subjek rasuah terbesar dan penyalahgunaan kuasa yang luar biasa merujuk kepada dirinya sendiri? Maksudnya Najib bersetuju dengan Anwar bahawa Najib perlu diambil tindakan?,” kata Anthony.


Apabila DSNR mengaju soalan kepada DSAI berkenaan pendirian beliau terhadap isu penutupan siasatan terhadap skandal Forex yang melibatkan kerugian RM30 billion 30 tahun yang lalu, DSAI dengan tegas mencabar balik beliau supaya meminta Perdana Menteri sekarang untuk membuka semula kes tersebut dan menyiasat semua kes lampau yang melibatkan golongan elit politik.


Kesimpulannya Anthony menyatakan bahawa Anwar telah menampilkan kebolehan dan keyakinan di pentas debat.


“Budaya debat ini memang merupakan satu usaha yang baik dan harus digalakkan di kalangan pemimpin politik.


“Saya berharap plafform debat langsung seperti malam ini akan diperbanyakkan terutama semasa kempen PRU-15 akan datang. Kita perlu berusaha menyuburkan proses demokrasi di negara kita dan menggalakkan pemikiran kritis di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.


Debat Perdana itu diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, MATIC, Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung, semalam.


bottom of page