Anwar: Isu hampir 30,000 pelajar tidak duduki SPM perkara serius
14 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangannya terhadap hampir 30,000 pelajar yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
“Bagi saya 30,000 pelajar perkara yang serius. Nak kata mereka ‘hilang’, mereka tidak hilang cuma kalau tak buat apa-apa ia hilanglah. Tapi yang tak ambil SPM majoriti Melayu, menteri dulu buat apa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada pelajar-pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Institusi Pendidikan Tinggi pada Program Cakna Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, kelmarin.
Anwar turut mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meneliti secara terperinci mengenai isu tersebut supaya ia tidak berulang di tahun-tahun akan datang.
“Perkara ini berlaku pasca Covid-19, politik tak tentu arah dan tidak ada dasar jelas.
“Bagaimana boleh Menteri Pendidikan ketika itu tak boleh pantau anak-anak tak ambil periksa. Ia hanya memerlukan Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan,” katanya.
Menurut laporan Utusan Malaysia, sebanyak 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak hadir menduduki peperiksaan.
Calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lalu bertambah berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10.681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar.
Comments