top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar: Kerajaan persiap kajian semula RMK-12


15 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melakukan kajian semula separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memastikan dasar dan strategi pembangunan negara selaras dengan keperluan rakyat semasa.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian semula itu akan melibatkan beberapa anjakan ke arah yang lebih baik, termasuk menyelesaikan isu-isu penting seperti masalah air di Kelantan dan Sabah.


Beliau berkata, kerajaan tidak akan mengabaikan atau meremehkan usaha yang lama, tetapi akan sentiasa bergerak ke arah yang lebih baik dan melihat apa kelemahan yang perlu diperbaiki.


"Umpamanya keadaan bekalan air di Sabah dan Kelantan, kalau ikut rancangan kita ambil masa terlalu panjang, termasuk dalam RMK-12 dan Belanjawan Madani.


"Ini bukan soal politik. Ini soal dasar. Saya sudah runding dengan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Besar Kelantan dan persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.


“Kita kena ambil alih tanggungjawab ini walaupun belanja besar. Ini yang kita kena ubah suai,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini, hari ini.


Anwar juga menegaskan bahawa semua agensi terlibat termasuk Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan perlu melakukan anjakan serupa walaupun ia tiada dalam perancangan.


Ia perlu disegerakan, katanya, sambil menambah, ia perlu bagi memenuhi keperluan rakyat semasa.


Beliau juga meminta penjawat awam untuk bersedia untuk berganjak sedikit daripada perancanaan penggubalan dasar seperti biasa.


RMK-12 adalah rancangan pembangunan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025 yang digubal berasaskan tiga dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kejuruteraan semula sosial.



bottom of page