Anwar: Kerajaan tidak abaikan golongan M40
23 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa kerajaan mengabaikan kebajikan kumpulan berpendapatan sederhana atau M40.
Anwar berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk membantu golongan tersebut, walaupun pendekatan kerajaan lebih tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah atau B40.
"Beberapa langkah telah kita ambil tetapi andaian beri lebih kepada B40 itu tidak betul," katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTEKaD di Sasana Kijang, pada Selasa.
Beliau memberi contoh bahawa sekolah menengah sains atau Maktab Rendah Sains Malaysia (MRSM) termasuk Kolej Melayu dan lain-lain, manfaatnya kepada golongan paling miskin itu sangat kecil.
"Sebab itu saya usulkan kepada Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) baru-baru ini menyatakan bahawa sama ada sekolah khas dicadangkan atau tidak pun mesti diperuntukan satu hingga lima peratus sahaja bagi yang benar-benar miskin. Kalau tidak kesenjangan itu akan terus berlaku," katanya.
Mengenai meritokrasi, Anwar berkata, ia tidak boleh menjadi satu-satunya kriteria dalam pengurusan dan tatakelola negara yang adil.
"Kalau mahu bincang meritokrasi antara sekolah terbaik di Kuala Lumpur dengan sekolah di Kapit Sarawak, itu maknanya menggagaskan satu formula yang tidak menekankan keadilan," katanya.
"Ada satu pihak cakap meritokrasi dan ada satu pihak cakap hanya kuota (bumiputera)...Saya fikir kedua-duanya harus digabungkan, jadi mesti ada juga meritokrasi kalau tidak, kita tidak akan angkat yang terbaik dalam kalangan kita," tambahnya.
Comments