Anwar lancar Malaysia Madani sebagai kerangka baharu Kerajaan Perpaduan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar lancar Malaysia Madani sebagai kerangka baharu Kerajaan Perpaduan


19 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan kerangka dasar baharu untuk negara dikenali 'Membangun Malaysia Madani', di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.


Beliau berkata, konsep Madani yang dibawa Kerajaan Perpaduan dirangka sebagai usaha untuk memetakan strategi mentadbir negara dengan lebih berkesan.

Katanya, Istilah “Madani” merujuk kepada tatakelola yang adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam di Madinah.


“Pembuat dasar dan pucuk pimpinan kementerian dan agensi-agensi negara sememangnya ingin tahu ke manakah hala tuju Kerajaan Perpaduan pada tahun 2023 dan selepasnya.

“Kita perlu melihat kepada kenyataan global pada hari ini. Dalam dunia yang serba tidak menentu, ditandai dengan kerumitan, percanggahan, kekacauan dan keserentakan, suatu kerangka strategik yang komprehensif harus dibangunkan untuk mengemudi negara menempuh zaman yang ditakrifkan sebagai pascanormal,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri di PICC, di sini, hari ini.


Membangun Malaysia Madani terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick turut menghadiri majlis itu.

bottom of page