• Wartawan Nabalu News

Anwar tidak puas hati perkembangan MoU transformasi



6 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkembangan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Poliitik yang ditandatangani bersama antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lepas.


Menurut Anwar, perkembangan MoU lembap dan seolah-olah sengaja dilengahkan oleh Kerajaan Persekutuan.


“Walaupun ada sedikit kemajuan, kemajuan itu sangat lemah sehinggakan reformasi Parlimen pun belum ada apa-apa kejayaan. Janji yang dibuat sudah melebihi sebulan dan tidak ada satu komitmen untuk melaksanakannya selain mewar-warkan kestabilan politik.


"Beberapa langkah lain juga bertentangan dengan semangat demokrasi, transparency (ketelusan) dan semangat untuk bekerjasama seperti disebut oleh perdana menteri," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian semasa mencelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang membangkitkan isu perlunya kestabilan politik di negara ini bagi memulihkan semula ekonomi, selain menarik pelabur asing dalam sidang parlimen, hari ini.


"Saya nak jelaskan di sini kepada menteri untuk membetulkan kenyataannya bahawa (MOU) ada kemajuan, meredakan suhu politik yang kami sokong pada awalnya.


"Tetapi saya nak nyatakan pada hari ini, kami tidak berpuas hati (dengan perkembangan MOU tersebut) kerana ia lembap dan sengaja dilengah-lengahkan," katanya.


Terdahulu, Kerajaan Persekutuan dan PH telah menandatangani memorandum MoU yang menjanjikan pembaharuan pentadbiran.


MoU tersebut melibatkan enam perkara utama iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.