top of page
Wartawan Nabalu News

Anwar umum tambah RM6 juta geran untuk program iTekad


22 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan menambah peruntukan geran sebanyak RM6 juta untuk program kewangan sosial iTekad yang bertujuan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terutamanya golongan B40.


Anwar berkata ini akan menjadikan jumlah bantuan keseluruhan iTekad untuk tahun ini sebanyak RM10 juta, meningkat daripada RM4 juta yang telah diperuntukkan di dalam Belanjawan 2023.


Beliau juga berkata bahawa kerajaan bertekad untuk menghapuskan kemiskinan negara dan mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin.


"Kalau (iTekad) sudah berjaya dengan RM4 juta dana awalan Kementerian Kewangan, (beserta) andaian lebih banyak penyertaan bank dan ada lagi dana tambahan dari Bank Negara Malaysia (BNM), maka saya boleh tambah dari RM4 juta kepada RM10 juta untuk tahun ini," katanya semasa Majlis Jalinan Kerjasama iTekad yang dihadiri oleh wakil-wakil dari Bank Negara Malaysia (BNM), bank-bank komersial, institusi kewangan Islam, badan-badan zakat dan wakaf, serta usahawan mikro di Kuala Lumpur pada hari ini.


iTekad merupakan program penaung yang diwujudkan oleh BNM bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.


Setiap program iTEKAD menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai, dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur.

Comments


bottom of page