• nabalunews

APM LAHAD DATU GERAK DUA PASUKAN PEMANTAU BANJIR



21 Jan 2021

LAHAD DATU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggerakkan dua pasukan pemantau banjir di sekitar daerah ini susulan beberapa kampung dinaiki air akibat limpahan air sungai berdekatan, sejak semalam.


Pegawai APM Lahad Datu Leftenan Asby Mohd Anwar berkata pasukan pemantau digerakkan ke Kampung Segama Lama dan Kampung Sapagaya, sejak awal pagi tadi, kerana dikhuatiri air banjir mendadak naik.


"Setakat ini, memang ada beberapa kampung seperti Kampung Segama Lama Batu 8 dan Kampung Sepagaya, dinaiki air tetapi tiada keperluan untuk memindahkan penduduk kampung ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Namun, beliau berkata pihaknya sentiasa dalam keadaan bersiap siaga untuk memindahkan penduduk kampung jika wujud keperluan.


Dalam pada itu, Asby menasihatkan penduduk kampung berhampiran sungai agar tidak panik dan memantau anak-anak bermain ketika air naik.


Beliau dalam pada itu, berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan banjir agar segera menghubungi Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Daerah di talian 089-880991 bagi tindakan selanjutnya.


Sementara itu, Tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan di Jalan Lahad Datu-Tungku dinaiki air dan tidak dapat dilalui kenderaan kecil.


Ekoran itu banyak kenderaan terpaksa berpatah balik dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang satu kilometer. - Bernama