APMM bakal terima aset terbaharu, kapal Coast Guard Cutter Steadfast
- nabalunews
- Oct 8, 2024
- 1 min read

8 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijadualkan membawa pulang kapal peronda USCG Cutter Steadfast dari Amerika Syarikat (AS) ke negara ini pada penghujung tahun ini.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, delegasi APMM yang dalam rangka lawatan ke AS turut mengunjungi USCG Cutter Steadfast di Baltimore bagi meninjau persiapan membawa pulang kapal itu.
Menurutnya, kapal berkenaan berada dalam keadaan baik dan ruang kerja dalamannya amat selesa bagi menempatkan pegawai serta anggota APMM menjalankan tugas.
“Proses baik pulih kapal berkenaan akan dilakukan dan keberadaannya di dalam inventori aset APMM tidak lama lagi.
“Ia bakal meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan dalam mengimplementasi konsep operasi berteraskan ‘ever present’ dan ‘the right asset for the right mission’ di Zon Maritim Malaysia.
“Antara aspek penting yang dititikberatkan dalam membawa pulang kapal itu merangkumi kuasa gerak, penjanaan kuasa, struktur badan dan rangka kapal, komunikasi, pandu arah dan domestik,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Terdahulu, dalam usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa, Mohd Rosli mengadakan kunjungan hormat ke atas Komandan USCG Laksamana Linda Lee Fagan di Washington, baru-baru ini.
Katanya, pertemuan ini diadakan bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama sedia ada antara APMM dan USCG.
Hasil pertemuan itu, USCG menyatakan sokongan dan komitmen tinggi terhadap usaha APMM dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara selain menekankan pentingnya kerjasama dalam aspek keselamatan serta Intelligence Surveillance & Reconnaissance (ISR).















Comments