• nabalunews

APMM PATAH CUBAAN SELUDUP MASUK ROKOK DI SEMPORNA


22 Jan 2021

SEMPORNA: Cubaan menyeludup masuk rokok negara jiran ke Semporna gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyerbu sebuah bot di perairan Pulau Bum Bum dekat sini, awal pagi tadi.


Pengarah Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata bot berkenaan diserbu pada 1.30 pagi namun juragan meloloskan diri dengan terjun ke laut dan bersembunyi di kawasan hutan bakau berhampiran.


"Pemeriksaan ke atas bot itu menemukan 34,400 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM9,380 dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Norrimi berkata siasatan terperinci akan dijalankan dan menjejak suspek yang dipercayai aktif dengan sindiket penyeludupan rokok di Semporna.


"Penguatkuasaan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara," katanya dan menambah aset APMM siap siaga diatur gerak untuk menghadapi sebarang operasi.


Beliau berkata orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999. - Bernama