• nabalunews

APMM SABAH TAHAN BOT NELAYAN ASING DI PULAU MANTANANI


Gambar APMM

15 April 2021


KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan menahan sebuah bot nelayan asing bersama lima warga Vietnam kira-kira 17.1 batu nautika dari Pulau Mantanani, Kota Belud, semalam.


Pengarah APMM Sabah dan WP Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata bot dan lima nelayan berkenaan yang berumur antara 17 hingga 40 tahun itu ditahan pada jam 9 pagi kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.


“Pulau Mantanani dikesan dan dikenal pasti sebagai salah satu kawasan tumpuan bot-bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam untuk melabuhkan pukat bagi menjarah serta mengaut hasil laut negara secara haram,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.


Mohd Rosli berkata bot serta kesemua nelayan berkenaan telah dibawa ke jeti APMM Sepanggar untuk siasatan lanjut dan jika sabit kesalahan, tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta dan kru boleh didenda RM600,000 setiap seorang atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.


Beliau berkata tangkapan berkenaan hasil daripada strategi khas di bawah Op Naga Timur dan Op Kuda Laut khususnya bagi membanteras pencerobohan bot nelayan asing di perairan Sabah.


Dalam pada itu Mohd Rosli berkata sejak awal tahun ini sehingga kini, APMM Sabah dan WP Labuan merekodkan empat tangkapan manakala tiga tangkapan dan dua pengusiran pada tahun lepas. - Bernama