top of page

ASP Johri juara Pertandingan Akhir Nyanyian Solo IPD KK 2022

Wartawan Nabalu News

. JUARA…Zaidi menyampaikan hamper tajaan ADABI kepada Johri (kiri).

24 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


Lagu 'Kaulah Segalanya' membawa tuah kepada ASP Johri Rubinsin, 45, apabila dinobatkan juara Petandingan Akhir Nyanyian Solo IPD Kota Kinabalu 2022, baru-baru ini.


Dengan kemenangan itu, pegawai dari Tawau mewakili Bahagian Pengurusan menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan hamper.


Persembahan Johri berjaya memukau barisan juri.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Muhammad Izzat Abd Rashid, 29, anak kelahiran Selangor mewakili Balai Polis Menggatal dengan mempertaruhkan lagu Aris Ariwatan, ‘Lamunan Terhenti’.


Pengalamannya memenangi Naib Juara Pertandingan Nasyid Peringkat IPTA/ IPTS di Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka membuatkan dirinya tampak yakin di atas pentas.


NAIB JUARA….Muhammad Izzat ketika membawakan lagu 'Lamunan Terhenti'.

Manakala tempat ketiga dimenangi anggota MPV, Sarjan Razalynizam Abdul Shamad, 40, dengan lagu pilihannya ‘Green Green Grass Of Home’.


Razalynizam yang berasal dari Tawau aktif dalam kumpulan koir semasa zaman sekolah menengahnya dan pernah menyertai petandingan karaoke di sekitar Tawau.


TEMPAT KETIGA ... Razalynizam

Semua hadiah disampaikan oleh Ketua Polis Daerah ACP Mohd Zaidi Abdullah dan diiringi oleh Timbalannya, Supt George Rakman.


Kesemua hadiah tajaan Pengurus Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd, Muhamad Zahari Muhd Nasir.


Pertandingan itu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.


ACP Zaidi berkata, Pertandingan Nyanyian Solo Peringkat IPD Kota Kinabalu 2022 itu bertujuan untuk mencari bakat baharu sebagai pelapis anggota kumpulan ThunderStorm Band.


SENITARI…Kumpulan Senitari IPD Kota Kinabalu turut menghiburkan audien.

Selepas hampir dua tahun berehat ekoran pandemik Covid-19, kini di bawah naungan ACP Zaidi, ThunderStorm Band mula aktif memainkan peranannya mendekati masyarakat dalam usaha membanteras jenayah di Bandaraya Kota Kinabalu.


“Dengan muzik ThunderStorm Band, kita mampu mendekati komuniti khususnya golongan muda untuk menarik perhatian seterusnya membina jaringan kerjasama antara Polis dengan masyarakat bagi membanteras jenayah.


“Pada tahun ini, persembahan band akan dimantapkan melalui latihan berkala secara konsisten, di samping mengganti peralatan yang telah rosak,” katanya.


Sementara itu Pengurus ThunderStorm Band, DSP Rosdi Mat Jusoh berkata, warga IPD Kota Kinabalu sememangnya sangat berbakat dan pertandingan seumpama ini memberi peluang kepada mereka mengetengahkan bakat terpendam.


THUNDERSTORM…Zaidi (lima dari kiri), George dan Rosdi (enam dari kanan) merakam gambar kenangan bersama band IPD KK.

“Daripada lebih 50 peserta yang menghantar penyertaan, hanya enam yang berjaya ke pentas akhir pertandingan ini.


“Pertandingan peringkat akhir diadili empat juri profesional yang tidak asing lagi, penyanyi wanita Sabahan Clarice J. Martha, Bintang Akademi Fantasia 7, Rubisa Tiasin, ASP Roning Mulut, selain artis tempatan yang popular dengan lagu, ‘Pologoson Oku’ AJ Fleezey yang juga ahli baru TSB,” katanya.



Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page