Aspek keselamatan penjara di Sabah, diperkukuhkan
9 Disember 2024
KLUANG : Projek Pembangunan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) kini dilaksanakan di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Penjara Wanita Kota Kinabalu, Penjara Sandakan, Sekolah Henry Gurney Keningau dan Penjara Tawau untuk memperkukuhkan aspek pengawasan, keselamatan dan tindakan bagi sesebuah institusi penjara.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pelaksanaan teknologi SKEB ini merupakan satu inisiatif yang sangat kritikal dalam usaha untuk meningkatkan aspek keselamatan sesebuah institusi penjara dengan risiko kes-kes lari dan lain-lain yang tidak diingini disasarkan kepada sifar, katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata antara skop projek ini ialah pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang mempunyai liputan lebih luas dan menyeluruh, Electronic Access Control System, IP Security Intercom System, Integrated Security Management System (ISMS) dan kerja-kerja pemasangan elektrik voltan rendah serta kerja-kerja kejuruteraan awam.
Katanya selain di Sabah, projek SKEB turut dilaksanakan di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Perak; Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan; Penjara Dusun Dato' Murad dan Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka dan Penjara Puncak Borneo, Sarawak.
Beliau berkata sembilan daripada projek berkenaan telah siap manakala sembilan lagi dijangkakan siap pada Mei tahun depan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Siap Pembangunan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) bagi Penjara Simpang Renggam dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar, di sini pada Ahad.
Ahmad Maslan berkata secara keseluruhannya, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dan telah melaksanakan 559 projek untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan jumlah keseluruhan RM5.635 bilion hingga November tahun ini.
Comments