Astaka perkahwinan adat dirasmikan di Mahkamah Anak Negeri Sandakan
9 Oktober 2024
SANDAKAN: Sebuah Astaka Perkahwinan Adat telah dirasmikan di Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sandakan baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Majaran Osman, dalam sesi temubual bersama media selepas perasmian, menyatakan bahawa pihaknya menyambut baik inisiatif pembinaan astaka ini.
Beliau menjelaskan bahawa astaka ini bukan sahaja memperkenalkan adat istiadat dan tradisi kaum-kaum di Sabah, tetapi juga berperanan penting dalam mendidik masyarakat mengenai nilai budaya yang diwarisi.
"Dengan adanya astaka ini, kami berharap ia dapat memperkukuh identiti dan warisan adat istiadat setiap etnik yang terdapat di Sabah," katanya.
Majlis perasmian ini turut dihadiri Ketua Mahkamah Anak Negeri Sandakan, OKK Zantapha Zainal Abidin; Ketua Daerah Sandakan, OKK Awang Zakaria Maria; Ketua Biro Kebudayaan MAN Sandakan, Dayang Aisyah Datu Bachtiyal; serta para tetamu undangan yang lain.
Menurut Dayang Aisyah, astaka ini juga boleh dikunjungi oleh pasangan suami isteri yang baru berkahwin untuk bersanding dan merakam gambar kenangan mereka.
Beliau menambah bahawa kunjungan ke astaka ini adalah percuma, dan terbuka kepada semua yang berminat untuk mendalami adat perkahwinan tradisional di Sabah.
Comments