• nabalunews

ATM TAHAN 4 PENDATANG HARAM DI SERUDONG, KALABAKAN



26 DIS 2020


KALABAKAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan empat pendatang haram termasuk seorang wanita dan bayi lelaki ketika mereka cuba menyeberang sempadan untuk kembali ke negara asal, dekat sini semalam.


Mereka yang berusia tujuh bulan hingga 48 tahun terbabit ditahan oleh pasukan Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Briged) yang sedang melaksanakan rondaan tanggungjawab di sektor Op Benteng, pada 3 petang.


Panglima 5 Briged Brig Jen Zambery Jefry Darus berkata pihaknya mengesan kumpulan pendatang haram itu cuba menghampiri sempadan Malaysia-Indonesia dan selepas ditahan mereka didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.


“Pemeriksaan juga mendapati mereka menetap di negara ini sejak awal tahun lagi untuk mencari pekerjaan di sektor peladangan, namun akibat pandemik COVID-19 peluang itu tidak ada dan mereka mahu pulang ke Indonesia," katanya dalam kenyataan hari ini.


Zambery berkata kesemua pendatang terbabit kemudian diiring keluar dari Malaysia pada 5.20 petang sebelum satu laporan polis dibuat mengenai kejadian.


Beliau berkata ATM akan terus memperketatkan kawalan di sempadan daratan bagi memastikan tiada pencerobohan oleh pendatang tanpa izin serta kegiatan jenayah rentas sempadan. – Bernama