Badan Berkanun Persekutuan kini perlu tubuh Unit Audit Dalam
- nabalunews
- Aug 9, 2024
- 3 min read

9 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Badan Berkanun Persekutuan (BBP) perlu menubuhkan Unit Audit Dalam untuk melaksanakan pengauditan bagi menilai dan meningkatkan keberkesanan pengurusan risiko, kawalan dalaman serta menyarankan penambahbaikan dalam pengurusan agensinya.
Laporan dikeluarkan oleh Unit Audit Dalam itu kemudiannya perlu dibentang kepada mesyuarat Lembaga Pengarah BBP berkenaan sekurang-kurangnya setiap suku tahun.
Menurut laporan Berita Harian, laporan itu perlu merangkumi cadangan tindakan pembetulan dan penambahbaikan terhadap ketidakpatuhan yang ditemui dalam pengurusan agensi itu.
Itu antara arahan ditetapkan ke atas semua BBP menerusi Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan yang mula dikuat kuasa kerajaan menerusi arahan pekeliling yang dikeluarkan pada 30 April lalu.
Garis panduan itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, hari ini dengan dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
"Unit Audit Dalam badan berkanun bertanggungjawab melaksanakan pengauditan ke atas syarikat atau perbadanan badan berkanun yang tidak mempunyai Unit Audit Dalam sendiri.
"Unit Audit Dalam bertanggungjawab melaporkan kepada Jawatankuasa Audit untuk dibentangkan kepada lembaga pengarah badan berkanun persekutuan," menurut garis panduan itu.
Sekiranya Unit Audit Dalam tidak dapat ditubuhkan, pelaksanaan audit dalam hendaklah dibuat melalui apa jua mekanisme bersesuaian bagi tujuan yang sama seperti menubuhkan pasukan khas atau melantik firma audit swasta.
Unit itu bertanggungjawab melaksanakan pengauditan terhadap pengurusan aktiviti dan kewangan antaranya meliputi penilaian terhadap maklumat dan penyata kewangan, sistem ICT sedia ada, pengurusan aset, pengurusan kewangan dan projek atau program agensi.
"Unit Audit Dalam juga bertindak sebagai penyelaras aktiviti pengauditan yang dilaksana oleh audit luar, selain melaporkan penemuan audit yang berkemungkinan mempunyai unsur penyelewengan, pembaziran, penyalahgunaan dan kecuaian kepada pihak pengurusan," katanya.
Sementara itu, laporan setiap suku tahun yang dikeluarkan unit berkenaan kepada jawatankuasa audit, perlu meliputi perancangan dan pencapaian Rancangan Audit Tahunan.
Selain itu, statistik dan status tindakan terhadap penemuan audit serta halangan dan kekangan yang dihadapi dalam melaksanakan pengauditan perlu sama dimuatkan.
Dalam pada itu, garis panduan turut menetapkan supaya sistem pengawasan berkesan dan sesuai perlu diwujudkan terutama di peringkat kementerian pengawal bagi memastikan badan berkanun persekutuan mematuhi semua dasar, undang-undang dan peraturan.
"Kementerian pengawal dan badan berkanun persekutuan perlu memastikan aktiviti agensi itu selaras dengan objektif penubuhannya dan melaporkan di dalam platform sebagaimana Arahan Nombor Satu Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara.
"Kementerian pengawal hendaklah mengambil tindakan susulan ke atas penemuan Ketua Audit Negara dan memastikan kelemahan-kelemahan yang dikenalpasti tidak berulang.
"(Ini) dengan memastikan kawalan dalaman, sistem dan prosedur kerja adalah relevan dengan keperluan semasa dan tidak membuka ruang kepada pelanggaran integriti," katanya.
Garis panduan yang dikuatkuasa menerusi arahan Surat Pekeliling Am Bilangan Lima 2024 itu bertujuan memberi panduan kepada kementerian, agensi pengawal dalam pelaksanaan peraturan dan prosedur berkaitan dengan pengurusan dan tatakelola badan berkanun persekutuan.
Surat Pekeliling Am itu dikeluarkan pada 30 April lalu, selepas garis panduan diputuskan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 2 Bilangan Satu 2024.
Sementara Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri diberi tanggungjawab memastikan keberkesanan pemantauan dan tatakelola badan berkanun persekutuan dengan penyelarasan bersama kementerian pengawal.
Dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan hari ini, Perdana Menteri menyentuh berkaitan kepentingan memperbaiki dan meningkatkan lagi prestasi badan berkanun persekutuan supaya penubuhannnya tidak menyimpang daripada matlamat asal.
"Saya percaya badan berkanun persekutuan mampu melakukan anjakan paradigma dan bersifat lebih telus serta mengelak daripada melakukan tindakan yang melanggar tatakelola lantas jatuh ke ‘pangkuan’ SPRM dan Ketua Audit Negara.
"Bagi mendokong prakarsa ini, kerajaan juga akan mengkaji peruntukan tambahan bagi memperluas mekanisme pemantauan audit, mencakupi semua peringkat iaitu persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan," katanya.
Menyentuh mengenai Garis Panduan yang dilancarkan hari ini, Anwar berharap ia
dapat meningkatkan lagi tahap pengurusan tatakelola pentadbiran khususnya Badan Berkanun Persekutuan (BBP).
Perdana Menteri menekankan bahawa Kerajaan MADANI tanpa kompromi akan berpegang kukuh kepada agenda meningkatkan kecekapan pentadbiran yang beramanah dan berintegriti.















Comments