- Wartawan Nabalu News
Bajet 2022: Peruntukan khusus RM30 juta naiktaraf bangunan kerajaan mesra OKU

29 Oktober 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan peruntukan khusus RM30 juta bagi menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu antaranya untuk menyediakan lebih banyak laluan khas bagi kegunaan golongan cacat penglihatan.
Selain itu katanya RM10 juta juga diperuntukkan untuk Pusat Latihan Berdikari serta sebuah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan bagi melaksanakan program latihan dan bimbingan ajar kepada golongan OKU.
“Bagi memastikan tempat buat anak muda OKU menceburi bidang pekerjaan, Kerajaan akan menyediakan kuota khas sebanyak 1 peratus untuk program MyStep kepada golongan OKU.
“Bagi meningkatkan akses terhadap media di samping membolehkan golongan OKU cakna dengan berita semasa dan informasi terkini, dengan bantuan BERNAMA, semua rangkaian TV termasuk saluran swasta akan menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita mereka,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi tahun hadapan, beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran Lesen Kenderaan Motor kepada semua kenderaan persendirian yang dimiliki oleh OKU.
“Harapnya, ini sedikit sebanyak meringankan kos sara hidup golongan OKU,” katanya.
Bagi golongan warga emas pula, kerajaan menyediakan perntukan lebih RM635 juta khusus untuk bantuan kebajikan, institusi penjagaan dan pusat aktiviti warga emas.
Mengenai aspek keselamatan kanak-kanak, kerajaan akan mensubsidi 50 peratus atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak oleh keluarga B40.
“Sejumlah RM30 juta disediakan untuk tujuan ini dan bakal memanfaatkan 188,000 keluarga B40,” katanya.