- Wartawan Nabalu News
Bajet 2022: Peruntukan pembangunan RM5.2 bilion bagi Sabah

29 Oktober 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak akan menerima peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan masing-masing kepada RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul l berkata, peruntukan ini antaranya untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik dan jalan raya serta kemudahan pendidikan kesihatan.
Beliau berkata, keseimbangan pembangunan antara negeri dan wilayah adalah penting bagi memastikan semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati hasil pembangunan.
“Bagi lima koridor wilayah pembangunan ekonomi, projek-projek pembangunan akan diteruskan dengan peruntukan sejumlah RM690 juta merangkumi enam projek baharu dan 66 projek sambungan seperti projek Pertanian Pintar di Igan, Sarawak.
“Tahun depan, sebanyak 20 lagi bank bergerak dijangka mula beroperasi merangkumi kawasan dan mukim di luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul berkata peruntukan khusus sebanyak RM260 juta iaitu RM20 juta setiap negeri akan disediakan bagi memfokus kepada projek melibatkan jaminan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Katanya, bagi memastikan usaha merangsang pemulihan ekonomi dipergiat, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur negara bernilai RM3.5 bilion antaranya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Utama Tengah.
“Sebahagian besar belanjawan tahun depan melibatkan infrastruktur luar bandar iaitu RM1.5 bilion daripada keseluruhan RM2.5 bilion akan diberikan kepada kedua-dua negeri di kepulauan Borneo itu.
“Di samping itu, kerajaan akan terus menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan peruntukan dinaikkan kepada RM746 juta. Sebilangan besar peruntukan ini adalah untuk menaik taraf sekolah daif dengan 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.
“Bagi memastikan kawasan luar bandar, khususnya Sabah dan Sarawak, mendapat barangan keperluan asas seperti LPG dan petrol pada harga yang berpatutan, kerajaan memperuntuk RM200 juta untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barangan asas ke kawasan luar bandar,” katanya.
Mengenai akses kemudahan pengangkutan khususnya bagi penduduk di Kudat dan Long Pasiah, Sabah serta Ba’kelalan dan Bario di Sarawak, Tengku Zafrul berkata subsidi berjumlah RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan udara akan terus diberikan untuk manfaat penduduk setempat.