top of page
  • Farah Salim

Bajet 2022: PH kemuka 12 cadangan


27 Okt 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) telah mengemukakan 12 cadangan dalam Bajet 2022 yang berfokus kepada pemulihan negara susulan pandemik Covid-19.


Ini termasuk suntikan segera berjumlah RM45 billion untuk tujuan dana Covid-19 negara dan beberapa lagi cadangan terperinci untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik.


Cadangan ini dikemukan oleh Ketua Pembangkang yang juga Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH; Mohamad Sabu, dan Ahli Parlimen DAP, Tony Pua dan Wong Chen.


Antara cadangan parti itu adalah bayaran semasa sebanyak RM1,300 untuk golongan miskin tegar dinaikkan ke RM2,500, manakala bayaran kepada golongan B40 dinaikkan daripada RM800 ke RM1,900.


Di samping itu, PH berpendapat bahawa bayaran RM250 kepada golongan M40 yang terjejas tidak mencukupi dan harus ditingkatkan ke RM1,100.


PH juga menggesa agar sumber diperuntukkan untuk jawatankuasa pilihan khas parlimen yang sekurang-kurangnya setara dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.


Sementara itu, ia juga mencadangkan agar sekurang-kurangnya RM4 bilion diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan hospital, peralatan perubatan dan sumber manusia bagi menangani tekanan berkaitan pandemik Covid-19.


Kata parti itu, kerajaan juga perlu memberi subsidi kit ujian kendiri bagi mewujudkan budaya ujian yang lebih menyeluruh selain memberi peluang kepada kumpulan B40 medapatkan kit itu dengan harga lebih berpatutan.


PH juga mencadangkan agar kerajaan menggunakan perakaunan akruan dan bukan asas tunai memandangkan terdapat kemelut skandal kewangan di negara.


Ia menyatakan: “Skandal masa lalu menyerlahkan keperluan mendesak untuk menyemai akauntabiliti dan ketelusan dalam proses kerajaan. Skandal penyimpanan rekod yang lemah memberi ruang untuk manipulasi dan mewujudkan peluang untuk rasuah.”


Antara cadangan PH yang lain adalah menaikkan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Seksyen 112D Perlembagaan Persekutuan dengan empat kali ganda kadar semasa iaitu RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak; menyediakan insentif bernilai RM100 juta untuk mempromosikan pembuatan berintensif buruh di Sabah dan Sarawak; menyediakan RM30 juta untuk menggalakkan eksport hasil dan produk makanan Sabah dan Sarawak ke Semenanjung; dan memperuntukkan RM15 bilion melalui geran ekonomi dan pinjaman mudah; memperuntukkan RM2 bilion kepada pinjaman perniagaan kecil dengan faedah rendah untuk syarikat mikro, kecil dan sederhana melalui BSN dengan proses permohonan yang mudah dan fleksibel.

bottom of page