Bajet 2024: KUSKOP terima peruntukan RM778.8 juta
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bajet 2024: KUSKOP terima peruntukan RM778.8 juta


1 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) diperuntukkan sebanyak RM778.8 juta di bawah Belanjawan 2024.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM547 juta bagi perbelanjaan pembangunan dan RM231.8 juta perbelanjaan mengurus.


Beliau berkata, ia merekodkan pertambahan RM46.4 juta berbanding belanjawan 2023, khususnya perbelanjaan pembangunan yang ditambah sebanyak RM26.8 juta.


“Terima kasih kepada YAB Menteri Kewangan atas peruntukan ini kerana ia merekodkan pertambahan.


“KUSKOP juga mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau terhadap usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini dengan mengumumkan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan PMKS dengan nilai keseluruhan RM44 bilion,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat, hari ini.


Seramai 21 orang Ahli Yang Berhormat iaitu Larut, Petaling Jaya, Machang, Kota Marudu, Sungai Besar, Bachok, Kudat, Rompin, Padang Besar, Jelutong, Segamat, Batu, Pasir Gudang, Parit Sulong, Hulu Terengganu, Keningau, Julau, Sungai Siput, Lumut, Simpang Renggam dan Bentong mengambil bahagian membahaskan 29 perkara berkaitan kementerian ini sepanjang tempoh perbahasan Belanjawan Tahun 2024, Peringkat Dasar.

 

Lima topik utama yang dibangkitkan itu ialah penyelarasan program keusahawanan, pelaksanaan program pembangunan usahawan dan skim pembiayaan, skim pembiayaan di bawah TEKUN Nasional, gerakan koperasi dan penambahbaikan program dan insiatif keusahawanan.


Ewon berkata, KUSKOP bertanggungjawab sebagai penyelaras utama pelaksanaan inisiatif keusahawanan yang dilaksanakan pelbagai kementerian dan agensi serta di peringkat negeri.


Beliau berkata, bagi memastikan pembangunan dan penyelarasan inisiatif keusahawanan berjalan lancar dan tidak berlaku pertindihan, struktur tadbir urus yang komprehensif telah dibentuk di peringkat persekutuan dan negeri.


Antaranya, Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK), Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN), Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi PMKS (HLTF) dan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Keusahawanan Nasional (JTPKN).


Selain itu katanya, Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri bagi menyelaras pelaksanaan program pembangunan usahawan oleh agensi persekutuan dan negeri juga telah dimulakan di Sarawak dan Sabah.


“Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD) telah dibentuk untuk memastikan isu pelaksanaan dan keperluan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil di peringkat daerah ditangani secara bersasar,” katanya.

 

Ewon berkata, KUSKOP melalui SME Corp. memantau program-program pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan oleh 68 Kementerian/ Agensi serta tujuh kerajaan negeri melalui platform SMEIPA atau Pelan Tindakan Bersepadu PMKS.


“Melalui platform ini, SME Corp. melaksanakan penilaian program pembangunan PMKS dan dibentangkan dalam mesyuarat MPUPK dan MPKN.


“KUSKOP melalui SME Corp telah membangunkan platform sehenti dalam talian MyAssist MSME bagi memudahkan perolehan maklumat oleh PMKS secara dalam talian dan juga bertujuan mempromosikan program dan bantuan yang disediakan kepada PMKS.


“Melalui platform ini, usahawan PMKS boleh mendapatkan khidmat nasihat dalam talian daripada kaunselor perniagaan (MeetMe), perkhidmatan padanan perniagaan dan maklumat berkenaan program yang ditawarkan oleh agensi pembangunan keusahawanan,” katanya.

 

Mengenai statistik usahawan PMKS Ewon berkata, berdasarkan data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah PMKS yang berdaftar di Malaysia pada 2022 sebanyak 1.17 juta berbanding 1.23 juta pada 2021 yang merangkumi 97.4% daripada jumlah perniagaan dalam negara.


“Penurunan sebanyak 52,893 PMKS pada tahun 2022 berbanding 2021 ini didorong pelbagai faktor seperti kesan Pandemik Covid-19 terhadap perniagaan, peningkatan kadar inflasi, kenaikan harga barang dan kos operasi yang memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan PMKS di negara ini,” katanya.


Berkenaan data usahawan PMKS wanita, beliau berkata, berdasarkan Banci Ekonomi 2016, jumlah PMKS milikan wanita yang berdaftar adalah sebanyak 186,930.


“Jumlah PMKS milikan wanita akan dikemaskini berdasarkan dapatan daripada Banci Ekonomi 2023 oleh DOSM yang akan diterbitkan pada Ogos 2024,” katanya.

bottom of page