Bajet 2025 bertepatan keperluan rakyat

19 Oktober 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menyifatkan Bajet 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri semalam, amat bertepatan dengan keperluan rakyat, terutamanya dalam menghadapi kesan inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, bajet bertemakan 'Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat' itu memberikan tumpuan kepada pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi.
Menurutnya, kerajaan mencadangkan pelbagai inisiatif yang akan memberikan manfaat langsung kepada rakyat, termasuklah menerusi Bantuan Kewangan Langsung.
Pemberian bantuan kewangan kepada individu yang layak bagi meringankan beban mereka dengan peningkatan peruntukkan kepada RM13 Bilion mencakupi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Demikian juga, katanya, pembangunan infrastruktur menerusi pelaburan besar dalam infrastruktur awam, termasuk
projek pengangkutan, jalan raya dan kemudahan asas di kawasan luar bandar, yang akan meningkatkan aksesibiliti dan kualiti hidup rakyat seperti menumpukan kepada pembangunan prasarana Asas desa dengan peruntukan berjumlah RM 2.9 Bilion.
"Pengumuman pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan
Terbang Miri, Sarawak dengan kos 253 juta ringgit, menjadi berita baik buat kedua-dua negeri,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, peningkatan peruntukkan untuk pendidikan dan latihan kemahiran TVET juga dilihat dapat memastikan generasi muda bersedia untuk cabaran masa depan menerusi peruntukkan daripada RM6.8 Bilion pada 2024 meningkat kepada RM 7.5 Bilion pada 2025, sekaligus inisiatif mampu meningkatkan daya saing dan memupuk inovasi dalam kalangan belia.
Bagi aspek kesihatan awam, katanya, penambahbaikan dalam sektor kesihatan awam, termasuk peningkatan peruntukan untuk hospital dan pusat kesihatan, serta program kesedaran kesihatan yang lebih berkesan dengan peruntukkan berjumlah RM 45.3 Bilion iaitu peruntukan kedua tertinggi di dalam Bajet 2025.
Manakala, bagi pemuliharaan Alam Sekitar, kerajaan memperkenalkan inisiatif hijau untuk memelihara alam sekitar dan membina masyarakat yang lebih mampan, malah kerajaan turut komited untuk mengurangkan jejak karbon dan membangunkan ekonomi tenaga boleh diperbaharui di Sabah.
"Saya percaya Bajet 2025 ini akan membawa perubahan positif dan menyokong usaha kita ke arah pembangunan yang inklusif dan berdaya saing,"katanya lagi.
Justeru itu, beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong pelaksanaan bajet ini demi kebaikan rakyat dan negara.
Comments