Bajet 2025 : Peluang Usahawan Sabah Pacu Kejayaan Lebih Tinggi - Rowindy
- nabalunews
- Oct 19, 2024
- 2 min read

19 Oktober 2024
KOTA KINABALU : Karnival Usahawan Sabah 2024 yang bermula sejak Jumaat lalu telah dirasmikan oleh Rowindy Lawrence, Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional, di Dewan Pameran Karamunsing, Kota Kinabalu hari ini.
Pengerusi penganjur, Yap Kham Siaw, menyatakan bahawa karnival ini bertujuan untuk merancakkan ekonomi tempatan melalui penyertaan pelbagai usahawan di Sabah.
Sebanyak 35 reruai telah mengambil bahagian dalam karnival tiga hari ini, termasuk Renny Kraft, SMJ Kitchen, Arby dan Tutungkap Borneo.
Dalam ucapan perasmiannya, Rowindy yang juga Presiden Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) menggesa para usahawan, terutamanya golongan wanita, untuk merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan, terutamanya melalui agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Rowindy berkata, "Sokongan terhadap industri kreatif akan menjadi salah satu fokus utama dalam Bajet 2025, yang diharapkan dapat membantu usahawan Sabah, khususnya yang terlibat dalam sektor pelancongan, seni dan kraf tangan. Dengan sokongan menyeluruh ini, usahawan kita dapat menghasilkan produk yang lebih inovatif, sekaligus menarik perhatian pelancong sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026."
Rowindy turut memaklumkan mengenai Skim Pembiayaan Usahawan Kraf yang disediakan oleh TEKUN Nasional, yang bertujuan untuk membantu pengusaha kraf mikro dalam mengembangkan perniagaan mereka.
"Skim ini mensasarkan usahawan yang terlibat dalam kraf tangan dan batik, dengan pembiayaan yang ditawarkan antara RM1,000 hingga RM100,000. Para pemohon boleh mengunjungi pejabat cawangan TEKUN di daerah masing-masing untuk maklumat lanjut," tambahnya.

Menyentuh mengenai Bajet 2025 yang baru sahaja diumumkan, Rowindy berkata, "Kerajaan telah memperuntukkan dana yang signifikan bagi memperkasakan sektor PMKS, termasuk insentif cukai, geran pembangunan serta pembiayaan mudah bagi usahawan tempatan yang memfokuskan kepada inovasi dan digitalisasi. Ini merupakan peluang besar untuk meningkatkan daya saing kita di pasaran global."
Beliau turut berharap bahawa para usahawan dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dan menjadikan karnival ini sebagai titik permulaan untuk menjalin rangkaian serta jaringan, pembelajaran dan kemajuan perniagaan masing-masing.
Selain itu, Rowindy juga menyentuh mengenai komitmen kerajaan dalam mempercepatkan transformasi digital melalui peruntukan besar untuk pembangunan infrastruktur digital di luar bandar, termasuk di Sabah.
"Inisiatif ini akan membantu lebih ramai usahawan di kawasan pedalaman untuk memanfaatkan teknologi digital dan e-dagang dalam memperluaskan pasaran mereka," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM320 juta bagi meningkatkan capaian Internet, yang dijangka dapat meningkatkan produktiviti serta taraf hidup rakyat.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), RM120 juta daripada jumlah tersebut akan digunakan untuk meningkatkan liputan Internet di institut pengajian tinggi awam (IPTA), manakala RM100 juta akan diperuntukkan untuk Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Tetap di sekolah-sekolah luar bandar.
Rowindy menggesa para usahawan untuk merebut peluang daripada pertumbuhan ekonomi digital yang sedang pesat berkembang untuk memajukan diri dan produk masing-masing.
Karnival Usahawan Sabah 2024 ini berlangsung selama tiga hari, dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan mewarna, Kinabalu Idol, Mrs Kinabalu, Miss Teen Kinabalu, dan Little Miss Kinabalu 2024 yang akan diadakan di Dewan Pameran Karamunsing, Kota Kinabalu.
Comments