top of page

Bajet tambahan negeri satu manifestasi kestabilan politik,pengurusan kewangan negeri yang baik – Dr Yusof

  • nabalunews
  • Jul 7, 2025
  • 2 min read

7 Julai 2025


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob menyifatkan Bajet Tambahan Negeri menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pembekalan Tambahan (2025) dibentang di Persidangan Dewan Undangan hari ini adalah satu manfestasi kestabilan politik dan pengurusan kewangan negeri yang baik.

Menurutnya, bajet tambahan negeri itu diperlukan untuk menampung pembayaran mendesak khususnya melibatkan kemudahan dan infrastruktur untuk kesejahteraan rakyat.


“Saya menyokong Bajet Tambahan Negeri ini diluluskan, disebabkan yang akan menerima manfaatnya adalah rakyat dan pembangunan negeri ini serta menampung kos bencana alam.


“Kerajaan Negeri juga mempunyai kewangan yang kukuh untuk dibelanjakan kepada rakyat menerusi rizab berjumlah RM8.6 bilion. Buat apa kita menyimpan dan laungkan kita (Kerajaan negeri) banyak rizab ini..sebaliknya kita serah kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan RUU Pembekalan Tambahan (2025) yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.


Dalam pada itu, beliau mahu menerusi bajet tambahan itu, kementerian menerusi jabatan dan agensi dibawahnya membelanjakan dengan cepat khususnya digunakan untuk bantuan bencana alam.


Katanya, bajet tambahan negeri ini perlu diguna untuk kes-kes kecemasan bencana alam disalur ke Pejabat Daerah supaya cepat diagihkan.


Justeru itu, beliau mahu kementerian yang berkaitan memantau pengagihan bajet tambahan ini di jabatan dan agensi dibawah mereka supaya ia dibelanjakan dengan cepat untuk manfaat rakyat.


Dalam pada itu, Dr Yusof meminta keperluan mendesak bagi mewujudkan sebuah Pusat Maklumat Pelancong Sipitang disebabkan status Sipitang yang menjadi daerah persinggahan kepada pengunjung dan pelancong dari Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.


Katanya, bangunan Pejabat Daerah Lama di Pekan Sipitang dicadangkan untuk dijadikan Pusat Maklumat Pelancongan Sipitang dengan mengekalkan struktur asal.


Pada masa sama, beliau juga meminta Dewan Serbaguna Pekan Sipitang dinaik taraf untuk kemudahan penduduk Sipitang.


Menurutnya, dewan tersebut yang menjadi dewan utama di Pekan Sipitang untuk majlis kerajaan, keramaian, perkahwinan dan sukan adalah berkapasiti kecil.


“Sudah sampai masanya dewan ini dinaiktaraf atau dibina sebuah dewan serbaguna yang baharu sejajar dengan pertambahan penduduk Sipitang dengan adanya Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP),” kata Dr Yusof.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page