• nabalunews

BANJIR: LEBIH 4,000 KETUA KELUARGA DAPAT BANTUAN DI DUN LUMADAN


8 JAN 2021


BEAUFORT: Lebih 4,000 keluarga daripada 36 buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan menerima bantuan berupa makanan asas berikutan kawasan itu terjejas banjir sejak Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan Ruslan Muharam berkata bantuan banjir itu diberikan secara berperingkat yang dikendalikan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).

"Untuk DUN Lumadan ini, kita gunakan inisiatif sendiri untuk memberikan bantuan bagi meringankan beban penduduk di kawasan yang sangat memerlukan. "Beberapa kawasan kampung lain juga kita tidak jangka ditenggelami air apabila aliran Sungai Padas melimpah ke kawasan berkenaan," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada penduduk dari kawasan itu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara kerana mereka pindah ke rumah saudara masing-masing.

Beliau berkata buat pertama kali banjir di kawasan itu turut menenggelamkan kolam ikannya seluas 1.62 hektar yang menempatkan ikan keli dari spesis Afrika dan kerugian dianggarkan RM8,000. Sementara itu, Ruslan turut mencadangkan agar jalan raya di laluan yang ditenggelami banjir dinaik taraf dengan menambah ketinggian jalan raya berkenaan.

Beliau berkata dengan cara itu akan memudahkan bantuan diberikan kepada penduduk yang terjejas ketika banjir selain penduduk kampung boleh bergerak mendapatkan bekalan makanan ke Pekan Beaufort.

"Ia merupakan perancangan untuk jangka masa panjang kerana jalan raya sebelum ini sudah dinaik taraf tetapi apabila banjir sering berlaku membawa tanah dan pasir menyebabkan ia mendap di kawasan jalan raya berkenaan," katanya. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com