Banjir Penampang: KUSKOP salur peruntukan khas bencana RM50,000 kepada SM St.Micheal
15 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan menyalurkan peruntukan khas bencana sebanyak RM50,000 kepada koperasi Sekolah Menengah (SM) St.Micheal Penampang untuk membaiki kerosakan akibat banjir di kawasan sekolah itu.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sekolah itu terjejas banjir dua hari lepas sehingga ditutup sementara dan menjejaskan peperiksaan SPM yang sedang berlangsung.
“Saya juga akan menyalurkan peruntukan khas menteri RM100,000 untuk membina konkrit kawasan letak kereta sekolah ini seperti yang diperlukan oleh pihak sekolah,” katanya selepas mengadakan tinjauan kesan banjir di sekolah itu, di sini, hari ini.
Turut hadir meninjau kerosakan akibat banjir di SM St.Micheal Penampang ialah Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin, Pengetua sekolah Jenifer Asing, pegawai TEKUN Nasional Sabah dan wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Penampang.
Semasa lawatan itu, para pelajar SM St.Micheal Penampang sedang bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah itu.
“Saya juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada sekolah itu untuk membantu gotong-royong membersihkan kawasan sekolah akibat banjir,” katanya.
Ewon turun padang meninjau sendiri keadaan dan kawasan yang sering dilanda banjir bagi membolehkannya mengambil tindakan lanjut.
“Saya perlu meninjau sendiri keadaan sebenar di lapangan bersama Pejabat Daerah, JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengenalpasti kerosakan atau keperluan penyelengaran atau menaiktaraf tempat-tempat berkenaan yang airnya masih bertakung atau selalu menjadi punca banjir sehingga menyebabkan penduduk kampung tidak boleh keluar menggunakan jalan tersebut," katanya.
Comments