• nabalunews

BANJIR: PUSAT PEMINDAHAN DITUTUP, SEMUA MANGSA DI BEAUFORT DIBENARKAN PULANG


8 JAN 2021


KOTA KINABALU: Semua 35 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 12 tengah hari ini.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerusi kenyataan memaklumkan pusat berkenaan yang dibuka sejak 4 Jan, lebih awal sebelum banjir melanda Rabu lepas, juga telah ditutup.

Menurut kenyataan itu, APM serta agensi lain menyediakan pengangkutan serta bantuan logistik lain bagi membantu mangsa yang kesemuanya merupakan penduduk Kampung Bakalau, untuk pulang ke rumah masing-masing.

"Trend air banjir ketika ini menurun dan cuaca baik… hasil pemantauan agensi mendapati kawasan kampung yang terlibat dengan pemindahan itu selamat untuk diduduki dan Pegawai Daerah Beaufort (Abdul Imam Basirun) telah membenarkan mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing.

"APM serta agensi berkaitan akan terus memantau kawasan panas banjir, orang ramai dinasihatkan supaya terus mengambil langkah berjaga-jaga," menurut APM yang turut memaklumkan bencana banjir berkenaan telah menyebabkan 49 kampung dan 19 jalan di daerah itu terjejas. - Bernama