Bank Rakyat tawar program biasiswa BRIGHT untuk lepasan SPM
- nabalunews
- Apr 30
- 1 min read

30 April 2025
KOTA KINABALU: Bank Rakyat dengan kerjasama Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) menawarkan Program Biasiswa, Inspirasi Bank Rakyat Memacu Bakat Tertinggi (BRIGHT) kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan program secara dalam talian itu dibuka bermula 25 April hingga 30 Jun 2025.
Katanya, calon akan melalui Program Asasi (Sastera) selama setahun sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Antara bidang yang ditawarkan setelah calon menjalani Program Asasi adalah Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Muda Percukaian, Sarjana Muda Pengurusan, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan serta Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam).
“Bidang lain yang turut ditawarkan adalah Sarjana Muda Psikologi, Sarjana Muda Pendidikan, Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-Kanak) dan Sarjana Muda Ekonomi,”menurut kenyataan itu.
Menurutnya, antara syarat kelayakan bagi permohonan program itu adalah lulus di peringkat SPM dengan minimum lima kredit atau lulus di O-Level dengan sekurang-kurangnya gred C dalam lima mata pelajaran.

Selain itu, katanya, kelayakan lain termasuk lulus Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan minimum gred B dalam mana-mana tiga mata pelajaran dan kelayakan lain yang setaraf dengannya yang diiktiraf oleh kerajaan.
Dalam pada itu,katanya, kepujian dalam subjek Matematik pada peringkat SPM diwajibkan bagi program tertentu.
“Pelajar yang berminat untuk memohon, boleh memohon secara dalam talian menerusi alamat e-mel info@unirazak.edu.my.
“Sertakan dokumen seperti salinan kad pengenalan (depan dan belakang), salinan slip keputusan SPM dan lima keping gambar berukuran pasport sebelum tarikh tutup permohonan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.bankrakyat.com.my dan media sosial Bank Rakyat atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1300-80-5454.
Comments