top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Banyak aduan rakyat Kadamaian tidak terima bakul makanan dari kerajaan: Ewon



29 Julai 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Ewon Benedick mendakwa menerima banyak rungutan daripada penduduk kampung mengenai pelaksanaan program bantuan bakul makanan yang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini.


Beliau berkata, ramai yang mengadu belum menerima bantuan bakul makanan daripada kerajaan.


“Saya menerima banyak rungutan tentang pelaksanaan program bantuan bakul makanan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri hari ini.


"Kerajaan terdahulu membelanjakan lebih RM30 juta untuk bakul makanan di bawah pakej bantuan Covid sehingga kerajaan baharu ditubuhkan. Pada masa itu, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) melaksanakan program ini dan nyata sekali ia dapat dirasai atau dilihat oleh rakyat.


"Kerajaan negeri hari ini juga mengumumkan peruntukan lebih RM30 juta untuk program bantuan bakul makanan tetapi pelaksanaannya tidak seperti yang lalu. Ianya bersasar dan menyebabkan banyak isi rumah lain yang turut terjejas dan amat memerlukan bantuan terlepas pandang," katanya.


Sebubungan itu beliau meneruskan Program Bantuan Bakul Makanan yang dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Jun lepas.


“Selain peruntukan yang disalurkan kepada Adun, kita juga menerima pelbagai sumbangan dalam bentuk barangan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat-syarikat dan individu.


"Banyak yang meghubungi saya mengenai kesudian mereka membantu dan menyumbang. Saya yakin semangat solidariti “rakyat jaga rakyat” di DUN Kadamaian dapat kita terjemahkan melalui kesediaan mereka untuk membantu,” katanya.


Selain itu, katanya, pihak gereja di DUN Kadamaian juga terus memberikan kerjasama mengenalpasti ketua isi rumah (KIR) yang amat memerlukan bantuan bakul makanan.


Kelmarin, Ewon menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada cawangan-cawangan Upko Kadamaian bagi membantu keluarga yang memerlukan.


Beliau turut berkunjung ke Gereja SIB Kg Tengkurus bagi menyampaikan sumbangan 55 bakul makanan untuk isi rumah yang telah disenaraikan oleh pastor gereja berkenaan termasuk di gereja Kg.Gandukut, Kg.Lahanas dan Kg.Panampatan.

bottom of page