• Wartawan Nabalu News

BANYAK JALAN KAWASAN MATUNGGONG PERLU PERHATIAN SERIUS: ADUN MATUNGGONG



9 DIS 2020


MATUNGGONG: Kementerian Kerja Raya (KKR) diminta memberikan perhatian serius beberapa jalan di kawasan Matonggong yang amat memerlukan pembaikan dan penaiktarafan.


Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki berkata, antaranya Jalan Teringai, Jalan Sebayan dan Jalan Inderason yang amat memerlukan perhatian kerajaan.


“Penaiktarafan jalan di kawasan ini penting untuk memberi keselesaan para penduduk kampung memasarkan hasil pertanian mereka.


“Saya berharap keperluan ini dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya selepas meninjau masalah jalan raya di kawasan Matunggong, kelmarin.


Turut serta dalam tinjauan itu Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik, Timbalan Pengarah JKR Sabah, Philemon Lajawai, Ketua Penolong Pengarah (KPP) (Jalan raya) Adrian Lee, KPP (Cerun) Hafez Shabuddin, Jurutera Daerah JKR Kudat Muji Ampau dan Jurutera Daerah JKR Kota Marudu, Azizah Suzianah Akul.


Sementara itu, Robert berkata, beliau memandang serius masalah jalan raya di kawasan daerah kecil Matunggong.


“Jalan raya di kawasan Matunggong adalah keperluan mendesak yang harus diambil perhatian demi kesejahteraan penduduk di sini,” katanya.


Katanya, berdasarkan taklimat yang disampaikan Jurutera JKR kawasan Utara Sabah, pihak kementerian mendapati banyak keperluan asas, iaitu jalan raya yang perlu pembaikan atau penaiktarafan.


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com