- Wartawan Nabalu News
BANYAK KEDAI DIBENAR BEROPERASI MULAI ESOK
9 Feb 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju membenarkan lebih banyak sektor peruncitan beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, berkuatkuasa esok.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini bagi memastikan kelangsungan ekonomi khususnya kepada para peniaga kecil di negeri ini.
“Kerajaan Negeri bersetuju membenarkan sektor peruncitan beroperasi dengan pematuhan SOP yang ketat selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
“Ini termasuk kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai Kasut, kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai, kedai bunga/ nurseri, kedai kraftangan dan cenderahati, kedai antik, kedai alat permainan, kedai permaidani.
“Kedai kandungan kreatif/ peralatan industri kreatif, kedai outdoor, kedai peralatan sukan, barangan rumah dan peralatan dapur, kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, kedai tembakau, kedai aksesori kenderaan dan restoran (dine-in),” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, SOP am bagi pembukaan sektor-sektor berkenaan adalah proses nyah kuman dan pembersihan dilaksanakan tiga kali sehari dalam tempoh operasi. mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai pelitup muka (face mask) semasa berada di dalam premis.
“Pelanggan dengan suhu 37.5ºC dan ke atas tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam premis, Hand sanitizer disediakan di pintu masuk dan dipastikan penggunaannya sebelum masuk ke premis.
“Memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis, memastikan kehadiran pekerja dan pelanggan direkodkan secara manual atau aplikasi MySejahtera.
“Penjarakan fizikal 1 meter semasa berada di premis, menghadkan bilangan pelanggan berada di premis pada satu-satu masa, digalakkan membuat bayaran secara elektronik,” katanya.
Beliau berkata bagi kedai pakaian, pemilik premis perlu menyediakan sarung tangan pakai
buang kepada pelanggan untuk memilih pakaian.
“Bagi kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, hanya aktiviti jual beli sahaja dibenarkan. Rundingan secara bersemuka serta penggunaan cosmetic testers adalah tidak dibenarkan.
“Bagi kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi, penggunaan studio hanya melibatkan seorang pelanggan dan jurugambar sahaja.
“Penggunaan studio penggambaran (kecuali perkhidmatan gambar passport, visa dan lesen) adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Comments