top of page

Bapa pukul anak kerana selisih faham dengan bekas isteri

  • nabalunews
  • Jul 17, 2025
  • 2 min read

Lelaki pukul anak perempuan kerana konflik rumahtangga diberkas polis.
Lelaki pukul anak perempuan kerana konflik rumahtangga diberkas polis.

17 Julai 2025


TAWAU: Seorang bapa dilaporkan sanggup memukul anak perempuannya dengan objek keras dipercayai akibat berselisih faham dengan bekas isterinya dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi di sebuah penempatan di sini, pada Isnin lalu.


Dalam insiden itu, mangsa, 14, mengalami lebam di seluruh badan dan trauma akibat dipukul di telinga kiri dan seluruh badan ketika berada di rumah neneknya.


Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian pukul itu dikatakan berpunca daripada perselisihan faham di antara suspek dan bekas isterinya berkaitan satu tuduhan yang dilemparkan terhadap wanita tersebut di hadapan anak mereka.

Rampasan objek keras yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul anaknya.
Rampasan objek keras yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul anaknya.

"Mangsa yang kini tinggal bersama neneknya kemudian menghubungi ibunya yang berada di Kota Kinabalu untuk memaklumkan kejadian tersebut dan wanita itu bertindak membuat laporan polis pada jam 5.41 petang, hari yang sama.


"Berikutan itu, suspek ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau kira-kira jam 8.30 malam iaitu kurang 24 jam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Tambahnya, polis turut merampas satu gulung plastik berwarna kelabu dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul anak kandungnya itu.


Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian dan pendedahan terhadap kanak-kanak yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.


Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan, dan salah satu daripadanya pernah disabitkan dan dihukum.


Dalam pada itu, Champin menasihatkan orang ramai, khususnya ibu bapa agar tidak menjadikan konflik rumah tangga sebagai punca penderaan terhadap anak-anak.


Tegasnya, sebarang bentuk pengabaian, keganasan atau pendedahan kepada bahaya boleh memberi kesan buruk terhadap emosi dan keselamatan kanak-kanak, malah tindakan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page