Barang Kosmetik Bernilai RM257,900 Dirampas
- nabalunews
- Apr 4
- 1 min read

4 April 2025
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 41 kotak barangan kosmetik yang dipercayai diseludup masuk dari negara Filipina, semalam.
Semua barangan kosmetik yang dianggarkan bernilai RM257,900 itu dirampas dalam operasi serbuan di kawasan jeti, Kampung Sum Sum, Tampi-Tampi, di sini, kira-kira jam 10.30 malam.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, operasi dilancarkan hasil maklumat, Unit Risikan Marin PPM Semporna.
Katanya, ketika serbuan, pasukan operasi menahan seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Exora berwarna hitam.
“Hasil pemeriksaan pada kenderaan berkenaan, pasukan operasi menemui 41 kotak besar barangan kosmetik yang dipercayai baru diseludup masuk dari Negara Filipina.
“Semua rampasan dan tangkapan terus dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua barang kosmetik berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah sebagai pemilikan, kebenaran berdaftar, resit belian serta pengguna barang.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Comments