Bawang merah tempatan dari Kundasang
27 Oktober 2024
RANAU: Sabah berpotensi untuk menjadi pengeluar bawang merah tempatan menerusi usaha penanaman berskala besar yang sedang dirintis usahawan di Kundasang.
Ketika ini, satu plot penanaman bawang sedang diusahakan usahawan tani di Kundasang dengan bimbingan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Inisiatif di bawah Projek Khas MADANI itu dimulakan dengan penanaman benih bawang merah oleh pemilik syarikat D&H Plantation, Shahrizal Denci bagi projek pengeluaran benih bawang merah seluas empat hektar.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Kurup yang melawat projek itu di Kundasang, semalam, berkata projek itu bermula pada Jun lalu dengan jangkaan hasil sehingga 2.4 tan sehektar.
“Bawang merah yang dikeluarkan oleh Shahrizal adalah dari varieti bawang merah MARDI, BAW-2. Pengeluaran bawang merah ini adalah melalui biji benih yang disemai di atas batas dan dalam tempoh 45 hari, anak benih yang matang terhasil dan dipindahkan ke ladang.
“Hasil yang diperolehi akan diperluaskan untuk kawasan penanaman persendirian oleh beliau,” katanya.
Arthur berkata di Sabah, MARDI mengenal pasti dua lagi usahawan tani yang akan diberikan bimbingan bagi pengeluaran bawang merah melalui projek perintis MARDI dengan hasil yang dijangka diperolehi mencapai satu hingga dua tan bagi setiap pengeluaran.
Katanya, lebih ramai petani di negeri ini dijangka terlibat dengan projek pengeluaran bawang merah bagi menampung permintaan negara menjelang 2026.
Pada lawatan itu, Arthur turut menyampaikan insentif RM30,000 kepada pengusaha bagi pembinaan rumah pengeringan bawang merah.
Hadir sama Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Comments