- Farah Salim
Beberapa kawasan di Sabah akan dipilih projek rintis basmi miskin tegar

15 November 2021
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersepadu iaitu kaedah baharu bagi membasmi kemiskinan tegar di luar bandar seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kaedah baharu itu akan membabitkan semua pihak berkepentingan termasuk jabatan-jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan dan institute pengajian tinggi yang akan mula dilaksanakan pada tahun depan.
Beliau berkata, sebagai projek rintis, dua kawasan termiskin akan dipilih di setiap negeri di Semenanjung Malaysia, manakala bagi Sabah dan Sarawak pula empat atau lima kawasan.
“Kita akan gunakan kaedah baharu untuk mengatasi miskin tegar. Kita akan kumpulkan semua jabatan kerajaan, universiti, NGO, individu dan agensi agama Islam. Sekarang ini tidak berapa bersepadu.
“Kawasan-kawasan ini kita bagi tempoh dua tahun dan beri tumpuan kepada progam-program yang menjana pendapatan,” katanya pada sesi penggulungan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mustapa berkata, kerajan akan memilih dua kawasan setiap negeri untuk dibangunkan secara holistik mengikut potensi kawasan berkenaan.
"Misalnya pertanian atau pelancongan, ini adalah pendekatan kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang tahun 2025," katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri akan memilih kawasan di setiap negeri.
“Program ini secara 'one off', yang akan memberi tumpuan kepada program penjanaan pendapatan, selama dua tahun. Ini adalah pendekatan yang akan dimulakan awal tahun depan. Kita akan pastikan pelaksanaan pendekatan bersepadu, bukan secara silo seperti sebelum ini," katanya.