Bekalan Air Bersih Buat Komuniti: UMS Agih Peralatan Air Graviti di Kampung Kiau Nuluh
- nabalunews
- May 9, 2025
- 2 min read

9 Mei 2025
KOTA BELUD: Seramai 11 orang pelajar Tahun 3 Kejuruteraan Awam dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melaksanakan Program Pengagihan Peralatan bagi projek bekalan air graviti di Kampung Kiau Nuluh, Kota Belud hari ini 9 Mei 2025.
Program ini dijalankan dengan sokongan penajaan daripada MyStarfish Foundation sebagai sebahagian usaha memperkasa komuniti luar bandar melalui penyediaan kemudahan asas.
Kumpulan pelajar ini diketuai oleh Mohd Harun Din Mohd Hassan bersama barisan ahli kumpulan iaitu Syahirah Batrisyia Mohd Diah, Hasnidar Agus, Siti Noorsafikah, Michelle Melly Raymond Chong, Valeiria Ena anak Pali, Scoot Sozuman Munang, Aiman Daniel Ibrahim, Nur Sabrina Abdul Zaini, Aby Marina Sahirun, dan Nur Afrina Abdullah.

Simbolik penyerahan peralatan telah disampaikan oleh Mohd Harun Din dan diterima oleh Rayner Yukun, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kiau Nuluh.
Antara peralatan yang disumbangkan termasuk besi BRC, simen, batu, pasir, paip, sambungan paip, injap dan tangki air yang bakal digunakan untuk membangunkan sistem bekalan air graviti bagi keperluan penduduk setempat.
Menurut Mohd Harun Din, objektif utama program ini adalah untuk memastikan penduduk kampung mendapat akses kepada bekalan air bersih secara berterusan, di samping memberi sumbangan tangki air bagi meningkatkan kecekapan pengurusan air di rumah masing-masing.

“Matlamat utama kami adalah untuk menyumbang kepada kesejahteraan penduduk Kampung Kiau Nuluh melalui sistem bekalan air graviti yang mampan dan berkualiti,” ujar beliau.
Rayner turut menzahirkan rasa penghargaan atas sumbangan tersebut dan menyatakan bahawa kerja-kerja pemasangan akan dilaksanakan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung. Tambah beliau, sumbangan ini sangat bermakna dalam usaha memperbaiki taraf kehidupan masyarakat di pedalaman.
Usaha ini jelas menunjukkan komitmen mahasiswa UMS dalam memainkan peranan aktif dalam pembangunan masyarakat. Ia juga merupakan medium aplikasi ilmu kejuruteraan dalam konteks sebenar sambil memupuk nilai kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.















Comments