BEKALAN ELEKTRIK BELURAN DAN TELUPID PULIH
- nabalunews
- Mar 2
- 2 min read

2 Mac 2025
KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik secara serentak di daerah Telupid dan Beluran pada Khamis, berjaya dipulihkan sepenuhnya.
Gangguan yang berpunca daripada kerosakan kabel utama 33kV yang menghubungkan kedua-dua daerah itu dipulihkan pada jam 8.45 malam, Jumaat lalu.
Ketua Pegawai Operasi, Ir.Ts. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, kerja-kerja pemulihan berdepan kesukaran ekoran berlakunya kejadian kemalangan melibatkan dua lori sehingga menghalang lalu lintas.
Bagaimanapun katanya, atas bantuan orang awam, anggota kerja teknikal Sabah Electricity dapat sampai ke lokasi gangguan.
“Terima kasih kepada orang awam yang membantu membawa anggota kerja teknikal menggunakan motorsikal yang terkandas di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Mohd Yusmanizam berkata, gangguan bekalan yang berlaku di kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh diterima oleh pasukan teknikal Sabah Electricity Kawasan Beluran pada jam 9.30 pagi Khamis.
Katanya, usaha pemulihan terus dilaksanakan dengan segera dan bekalan berjaya dipulihkan pada jam 10.19 pagi sejurus selepas itu.
“Walaubagaimanapun, sekali lagi bekalan di dua kawasan berkenaan terganggu pada jam
12.46 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan dengan menggunakan Cable Fault Locater (CFL) mendapati, kerosakan kekal berlaku ke atas kabel di belakang Bangunan JPJ, Batu 32, Sandakan.
“Kerja-kerja pembaikan ke atas kabel yang rosak itu dilaksanakan agak lama memandangkan tahap kerosakan adalah tinggi dan memerlukan bantuan alat ganti khas.
“Bekalan ke seluruh kawasan Beluran berjaya dipulihkan pada jam 11.44 malam pada Khamis kecuali ke kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh,” katanya.
Menurutnya, bagi kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh pula, pembaikan ke atas talian 33kv yang rosak berdepan kesukaran.
Katanya, ia disebabkan lokasi kerosakan yang jauh, keadaan jalanraya yang tidak berturap dan gelap serta keadaan bentuk muka bumi yang sukar melambatkan pemulihan bagi kedua kawasan ini.
“Walaupun menghadapi cabaran-cabaran ini, kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dengan
segera dan bekalan ke kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh dipulihkan sepenuhnya jam
8.45 malam pada Jumaat,”katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yusmanizam berkata, kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan
elektrik sedang dilaksanakan di Telupid dan Beluran di mana Pencawang Pembahagian
Utama (PPU) baharu sedang dibina di Telupid.
“Beberapa projek menaiktaraf sistem juga sedang dilaksanakan dan dijangka akan siap pada September tahun ini,” katanya lagi.
Comments