top of page

Bekalan Elektrik Lebih Stabil Untuk Sabah Dan Labuan

  • nabalunews
  • Jul 14, 2025
  • 3 min read

14 Julai 2025


KOTA KINABALU: Lebih 60,434 pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dan efisien hasil pelaksanaan 7 projek tenaga oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan nilai keseluruhan lebih RM 260 juta.


Ia melibatkan projek naik taraf pencawang, sambungan talian grid baharu, dan sistem pemantauan keselamatan bagi menjamin bekalan elektrik yang lebih diyakini merangkumi kawasan Tanjung Aru hingga ke Ranau, Batu Sapi, dan Labuan.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyempurnakan sesi penyerahan tujuh projek sektor tenaga berkata, ia merupakan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) yang kini memberi manfaat kepada 11,452 pengguna di kawasan Tanjung Aru dan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, projek itu melibatkan pembinaan sebuah bangunan yang menempatkan kelengkapan suis berpenebat gas 132kV dan 33kV (GIS) dan transformer 132/33/11kV bagi menggantikan sistem lama 66/11kV yang telah lapuk dan tiada alat ganti.


“Penyiapan projek ini turut menyokong pembinaan jajaran kabel 33kV baharu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik ke kawasan strategik berkenaan.


“Pada masa yang sama, enam lagi projek di bawah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik

Sabah (PPKBES) yang berjaya disiapkan adalah Projek Sambungtara 132kV Labuan–Sipitang di mana Fasa 1: Naik taraf PMU Beaufort ke 275kV dan Pakej 2 yang bernilai RM34.92 juta, melibatkan pembinaan menara talian 275kV sepanjang 7 kilometer dari

PMU Mengalong ke sempadan Sindumin ke Lawas, Sarawak.

“Projek ini telah disiapkan sepenuhnya pada 2 September 2024 dan sedang menunggu penyiapan projek oleh pihak Sarawak Energy yang dijadualkan pada September 2025,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Tujuh Projek Siap PPKBES kepada Kerajaan Negeri Sabah.


Fadillah berkata, setelah siap, projek itu akan membolehkan sebanyak 30MW tenaga

diimport dari Sarawak untuk kegunaan pengguna di Sipitang.


Katanya, grid direka untuk membawa kapasiti penghantaran sehingga 500MW, menjadikannya antara infrastruktur penting dalam jaringan utama ASEAN Power Grid yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Filipina bagi tujuan perkongsian tenaga rentas sempadan berdaya harap dan mampan.


“Seterusnya, Projek Pembahagi Utama (PPU) 33/11kV Ranau bernilai RM31.3 juta yang mula beroperasi pada 11 Januari 2024 dan siap sepenuhnya pada 15 Mac 2024 pula membolehkan kawasan Ranau disambungkan kepada grid elektrik Sabah, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada stesen janakuasa diesel berkapasiti 18MW PPU Ranau.


“Dengan itu, penggunaan stesen janakuasa tidak lagi diperlukan sepanjang masa, seterusnya memberikan persekitaran yang lebih bersih dan mengurangkan subsidi diesel kepada 15,620 pengguna.


“Projek PPU Batu Sapi pula merupakan projek penting bagi menangani isu sistem lama dengan nilai RM30.02 juta.


“Dengan PPU baharu mula beroperasi pada 13 Disember 2024, agihan kuasa dari Stesen Janakuasa Batu Sapi menjadi lebih berkesan ke kawasan berhampiran seterusnya mengukuhkan sistem pembahagian 33kV dan 11kV di sekitar Bandar Sandakan, termasuk Karamunting, Bokara dan Kampung Istimewa, justeru memberikan manfaat kepada kira-kira 4,744 pengguna,” katanya.


Selain itu, bagi Projek Protection On-Line Monitoring pula, Fadillah berkata, ia melibatkan kerja-kerja komunikasi dan penaiktarafan geganti perlindungan dengan kos sebanyak RM42 juta, merangkumi pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 15 kilometer dari Kampung Lambidan di Menumbok kenTa jung Aru, Labuan.


Katanya, projek yang siap pada 5 Februari 2024 ini telah memperkukuh sistem perlindungan talian PMU Beaufort ke PMU Rancha-Rancha di Wilayah Persekutuan Labuan.


“Bagi Projek PMU 132/33/11kV Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu bernilai RM50.011 juta pula, ia telah mula beroperasi sepenuhnya pada 12 Ogos 2024 dengan berjaya meningkatkan kapasiti beban dari 93.51MW kepada 131.60MW di kawasan UMS.


“Selain mengurangkan indeks gangguan bekalan (SAIDI) di kawasan sekitar, ia turut mempertingkatkan sistem retikulasi 33kV bagi kawasan Sulaman dan Alamesra.


“Seramai lebih 5,000 pengguna menerima manfaat secara langsung daripada penyiapan projek ini dan PMU ini juga kini bersedia untuk menerima beban tambahan termasuk dari Hospital Universiti Malaysia Sabah.


“Akhir sekali, Sistem Pengukuhan 11kV Labuan yang bernilai RM6.3 juta yang telah siap pada 9 November 2024 adalah melibatkan kerja-kerja penaiktarafan sistem perlindungan di PPU Rancha-Rancha serta meningkatkan keupayaan sistem untuk menyokong pembangunan baharu di kawasan Wilayah Persekutuan Labuan,”katanya.


Menurutnya, pelaksanaan projek-projek PETRA menerusi PPKBES ini telah memperkukuh infrastruktur penghantaran dan pembahagian elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta menjamin penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pengguna di seluruh kawasan terlibat.


Katanya, ia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, penyiapan projek-projek di bawah PETRA justeru membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur tenaga di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page