• nabalunews

BEKERJA DARI RUMAH, BUDAYA KERJA BAHARU


23 OKTOBER 2020


KUALA LUMPUR: Bekerja dari rumah (BDR) tidak boleh lagi dianggap sebagai pilihan atau penyelesaian sementara berikutan berlakunya penularan wabak COVID-19, namun ia sebenarnya suatu praktis baharu di tempat kerja, ketika ini.

Pensyarah Fakulti Komunikasi Gunaan, Universiti Multimedia Adlene Aris berkata jadual yang fleksibel dan bekerja secara jarak jauh diihat sebagai aturan baharu yang ideal untuk meningkatkan produktiviti dan mengimbangi kehidupan pekerjaan yang akan memberi kesan positif terhadap kesejahteraan fizikal dan mental pekerja.

"Kita akan mempunyai Gen Z yang akan menyertai industri pekerjaan dalam beberapa tahun lagi. Ini merupakan generasi yang sedang menjalani kelas secara dalam talian perbincangan dan perdebatan yang tidak berkesudahan sama ada dengan pensyarah atau rakan sebaya. Bahkan latihan indunstri mereka dijalankan secara jarak jauh, semasa penularan pandemik ini.

"Walaupun saya mungkin tidak mewakili semua pendidik di luar sana, tetapi saya kagum dengan kualiti kerja yang pendidik hasilkan walaupun proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara dalam talian.

“Oleh itu, Gen X dan golongan melinium bertanggungjawab atas perubahan ini, agar Gen Zs dan generasi selepasnya dapat menghargai budaya kerja yang lebih baik,” katanya dalam artikel yang diterbitkan di ruangan Tinta Minda Bernama.com, hari ini.

Tetapi di Asia, katanya, golongan pakar mendapati bahawa orang Asia kurang bersedia untuk mengamalkan BDR.

"Dua faktor biasa yang menghalang perkara itu iaitu talian internet yang perlahan dan pengurus yang mencurigai dan tidak mempercayai pekerjanya.

"Faktor kedua, merupakan masalah yang sering dihadapi ramai pekerja dari seluruh Asia, khususnya dalam kalangan generasi muda yang telah pun mengamalkan waktu kerja yang fleksibel, malah telah bekerja secara jarak jauh sebelum berlakunya penularan wabak itu lagi," katanya.

Adlene menambah bahawa pekerja di Malaysia biasanya bekerja lima hari seminggu, sembilan jam sehari dengan waktu rehat makan tengah hari selama sejam dan ini mengecewakan ramai pekerja.


"Mereka bukan sahaja perlu bekerja untuk waktu yang panjang di pejabat, malah mereka terpaksa melalui perjalanan yang panjang untuk pulang ke rumah. Lazimnya, keseimbangan antara kehidupan dan kerja hakikatnya tidak wujud di negara-negara Asia.

"Pegangan kita bahawa waktu kerja yang panjang dapat menyamai produktiviti yang tinggi dan kepercayaan organisasi terhadap pekerja merupakan dua faktor umum mengapa waktu kerja yang fleksibel dan BDR tidak dijadikan budaya kerja," katanya. - Bernama