top of page
nabalunews

Belanjawan 2024: Kerajaan tambah RM2 bilion untuk STR, manfaatkan 9 juta rakyat

13 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Bantuan tunai rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan diperluas dengan peruntukan tambahan RM2 bilion daripada RM8 bilion sebelum ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dijangka dapat membantu kira-kira sembilan juta rakyat atau 60 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia.


"Kenaikan ini adalah hasil penjimatan subsidi, yang kemudiannya akan disalurkan kepada rakyat," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2024) di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau turut menyatakan bahawa kadar maksimum STR akan dinaikkan daripada RM3,100 kepada RM3,700, manakala kadar minimum STR untuk golongan belia pula akan dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.


"Bayaran pertama STR untuk isi rumah biasanya maksimum RM300. Untuk STR 2024, bayaran pertama STR dinaikkan kepada RM500, yang insya-Allah akan disalurkan sebelum Ramadan," jelas beliau.


Belanjawan 2024 merupakan Belanjawan MADANI Kedua sebagai kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi MADANI melibatkan tiga tumpuan utama iaitu; Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan; Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan; Peningkatan Darjat Hidup Rakyat.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, STR 2024 akan mengambil pendekatan berbeza iaitu kerajaan akan membuka permohonan baharu seawal November 2023 dan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.


"Insya-Allah, bayaran pertama sehingga RM500 akan dibuat pada bulan Februari 2024," ujarnya lagi.


Selain itu, beliau berkata kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 700,000 penerima STR yang akan menerima RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan.


Beliau juga menyebut bahawa kerajaan menyediakan RM200 juta untuk meneruskan pelaksanaan Payung Rahmah.


Antaranya, pelaksanaan Program Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah akan diperluas ke lebih banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.


"Program Pasar Rahmah yang menawarkan insentif kepada 1.2 juta pengusaha pasar borong, pasar malam dan pasar tani juga diteruskan bagi mengurangkan kos perniagaan sekali gus dapat menurunkan harga jualan," kata Anwar.



Comments


bottom of page